Anda di sini

Rekomendasi atasi masalah PATI siap tahun ini: Pairin

Advertisement

Rekomendasi mengambil masa kerana ia harus praktikal

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yakin rekomendasi untuk dimuatkan dalam pelan tindakan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini mampu disiapkan pada tahun ini.

“Kita sepatutnya dapat mengeluarkan senarai rekomendasi ini (tahun ini) dan jika mahu, sekarang pun boleh, tetapi kita tidak mahu ‘cincai-cincai’ (sembarangan) kerana kita perlu serius dan rekomendasi ini perlu praktikal dan tidak dikeluarkan hanya mengikut imaginasi,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah itu bagaimanapun tidak memberitahu senarai rekomendasi yang akan dimuatkan dalam pelan tindakan jawatankuasa terbabit kerana setiap cadangan perlu diperhalusi dan dilihat satu-persatu.

Katanya, jawatankuasa itu dalam proses mengumpulkan cadangan serta idea yang dikemukakan pelbagai pihak bagi mengenal pasti rekomendasi terbaik.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata semua rekomendasi serta idea yang disampaikan itu akan disusun dan dimasukkan dalam pelan tindakan supaya boleh dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, jawatankuasa ini sudah berjumpa dengan dua kumpulan iaitu Kumpulan Bebas serta Persatuan Peguam Sabah (SLA) yang menyatakan cadangan mereka dalam usaha menangani masalah PATI di Sabah.

“Kumpulan bebas itu dianggotai oleh Datuk Jeffry Kitingan, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Datuk Seri Yong Teck Lee serta beberapa individu lain.

“Kumpulan SLA iaitu kumpulan yang datang pada hari ini dan diketuai oleh penyelidik Dr Chong Eng Leong dan disertai oleh Pengerusi bersama Jawatankuasa Kecil SLA-RCI Datuk John Sikayun, bekas Peguam Negara (Sabah) Datuk Stephen Foo, Alex Decena serta beberapa pengamal undang-undang lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah di Wisma Innoprise, di sini kelmarin.

Untuk orang ramai, cadangan melalui akhbar juga diambil kira kerana ia adalah cadangan dalam bentuk bertulis.

“Kami tidak mahu terlepas sebarang cadangan yang baik dalam menangani masalah PATI. Tidak semestinya kita perlu memanggil semua pihak kerana terdapat banyak lagi kumpulan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) maka siapa sahaja yang menyatakan cadangan atau ingin menyatakan cadangan melalui memorandum akan diterima,” jelasnya.

Walaupun senarai rekomendasi yang akan diambil kira tidak dapat dinyatakan, namun apa yang pasti sebagai langkah menangani kemasukan PATI, kerajaan negeri akan memastikan tiada lagi warga asing tanpa dokumen masuk ke Sabah dan pengusiran perlu dilakukan.

Selain itu, mana-mana orang yang tidak mempunyai dokumen tidak boleh berada di Sabah, sesiapa sahaja bukan warganegara yang berada dalam senarai daftar pemilih harus dibuang.

“Atas sebab itu, kita mengumumkan untuk mendaftar semula populasi masyarakat tempatan serta warga asing (berdokumen). Ia bukan satu langkah yang mudah kerana kita perlu melihat daripada pelbagai kategori.

“Kita perlu melihat dari aspek PATI yang tiada dokumen, kanak-kanak tidak bernegara, pengundi hantu, orang yang melindungi PATI serta penempatan semula.

“Kita mahu supaya tiada lagi gambaran warga asing di Sabah masih ada PATI. Sudah tentu ia bukan kerja yang mudah tetapi kerajaan akan mengusahakannya,” katanya.

Pairin turut menyatakan bahawa kerajaan memang serius dalam menangani permasalahan melibatkan PATI.

Jika kerajaan tidak serius mana mungkin wujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) serta langkah-langkah mengawal perairan negeri.

“Kerajaan memang ingin menyelesaikan masalah PATI ini dan mana-mana pandangan akan diambil kira. Kita mahu ia disampaikan dalam bentuk tulisan supaya ada rekod. Oleh itu, walau sekecil mana pandangan diberi, ia akan diambil kira,” katanya.

Ditanya cadangan dikemukakan Jabatan Imigresen, beliau berkata antara cadangan jabatan itu ialah supaya kerajaan meneliti mana-mana undang-undang yang lemah supaya boleh diperkuatkan.

Antaranya adalah dengan meneliti semula pusat tahanan sementara yang sudah terlalu sesak hingga tidak mampu menampung kapasiti tahanan.

Jabatan itu juga mencadangkan agar proses pengusiran perlu dipercepatkan.

“Banyak perlu diteliti supaya apa-apa yang berkaitan dengan undang-undang akan diperhalusi supaya ia lebih berkesan terhadap usaha kita untuk menangani masalah PATI,” katanya.

Advertisement