Anda di sini

Seorang maut, tiga parah selepas kereta langgar besi penghadang

Advertisement

MAUT: Kenderaan mangsa remuk selepas terbabas lalu melanggar besi penghadang pam minyak Shell di Jalan Prayer Bandar Sandakan.

SANDAKAN: Seorang maut manakala tiga lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar besi penghadang pam minyak Shell di Jalan Prayer Bandar Sandakan, malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, mangsa dikenali sebagai Hedriawan Awang, 27, maut di tempat kejadian.

“Manakala tiga lagi penumpang kereta berkenaan mengalami cedera parah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan kira-kira jam 9.45 malam itu berlaku semasa kereta mangsa dalam perjalanan menuju ke Jalan Coastal.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta mangsa telah bergesel dengan sebuah kereta lain yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya dan jenis kenderaan,” katanya.

Zabidi berkata, akibat pergeselan itu kereta mangsa terbabas lalu melanggar besi penghadang pam minyak stesen minyak berkenaan.

Bagaimanapun, kenderaan yang bergesel dengan kereta mangsa terus meninggalkan tempat kejadian.

Katanya, tiga mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan.

“Mayat mangsa turut dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pihak polis di talian 089-214444 atau pegawai penyiasat Inspektor Zabir Aripin 089-212254 untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Advertisement