Anda di sini

Polis Perak tahan lelaki, rampas 7.5 kilogram heroin

Advertisement

IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 7.47 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM374,000 di Desa Rishah Indah di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh berkata suspek berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang melakukan serbuan di kawasan perumahan berkenaan pada kira-kira jam 4.40 petang.

“Polis menemui 35 peket plastik lutsinar disyaki (mengandungi) dadah jenis heroin serta peralatan membungkus dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak semalam.

Beliau berkata rumah teres dua tingkat yang disewa itu dijadikan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti membungkus dan mengedar dadah sejak sembilan bulan lepas.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini terutama di sekitar Buntong untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Osman berkata hasil siasatan juga mendapati suspek dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap ‘Geng Devan’.

“Kami telah menahan 15 suspek anggota kumpulan terbabit sebelum ini manakala tiga masih diburu polis,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas pistol jenis Revolver .38 beserta 17 butir peluru hidup dan tiga kelonsong yang ditemui di dalam rumah berkenaan.

“Selain itu, kami merampas dua kereta jenis Proton Waja yang dilapor hilang pada tahun lepas dan awal tahun ini. Dua telefon bimbit serta lima topeng muka juga dirampas,” katanya.

Osman berkata polis turut menyita kenderaan pikap jenis Toyota Hilux serta motosikal jenis Yamaha LC 135 milik suspek.

Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes samun serta mencederakan orang, katanya.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama lapan hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Osman berkata kes senjata api pula disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala kes kecurian kenderaan bermotor mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan. — Bernama

 

Advertisement