Anda di sini

Pihak sekolah diminta tingkatkan pemantauan, elak kematian pelajar

Advertisement

KOTA BAHARU: Pihak sekolah terutama pengetua dan guru besar diminta mempertingkatkan pemantauan pelajar di sekolah masing-masing bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini sehingga menyebabkan kematian.

Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Hussain Awang berkata pihak sekolah perlu sentiasa memberi peringatan kepada pelajar terutama dalam mematuhi disiplin yang ditetapkan.

“Kejadian yang menyebabkan kematian pelajar adalah sesuatu yang serius dan mengejutkan. Perkara ini perlu dijadikan pengajaran penting buat semua pihak termasuk pihak sekolah dan pelajar.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana bukan hanya memberi kesan yang besar kepada keluarga mangsa tetapi juga menjejaskan masa depan suspek,” katanya kepada Bernama ketika di hubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian seorang pelajar tingkatan empat sebuah kolej vokasional di Bachok yang dipercayai dipukul oleh seorang pelajar senior, semalam.

Hussain berkata budaya senioriti di sekolah atau di asrama sepatutnya tidak dijadikan alasan sehingga boleh mencederakan pelajar lain apatah lagi sehingga menyebabkan kematian.

Hussain turut menasihatkan semua pelajar tidak bertindak keterlaluan kepada mana-mana pelajar sehingga boleh mendatangkan kecederaan.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, mangsa Mohamad Nur Akram Zime, 16, dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan suspek yang berusia 17 tahun yang bertindak memukul mangsa dipercayai akibat salah faham.

Mohamad Nur Akram dikatakan tidak sedarkan diri selepas disepak sebanyak dua kali oleh pelajar senior terbabit sebelum disahkan meninggal pada jam 1.30 pagi semalam di sebuah klinik kesihatan di Bachok.

Mayat mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Berangan, Pasir Puteh semalam. — Bernama

 

Advertisement