Anda di sini

Najib tidak perlu tunduk tekanan

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu tunduk kepada tekanan yang menggesa beliau untuk meletak jawatan, sebaliknya fokus perlu diberi bagi menyelesaikan beberapa isu yang dikaitkan dengan pentadbirannya ketika ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata dua perdana menteri sebelum Najib iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah diselubungi isu tertentu dan meletak jawatan bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.

“Jika letak jawatan, nanti orang baru yang naik jadi perdana menteri pula akan dikaitkan dengan pelbagai masalah, jadi isu ini sentiasa berulang dan tidak pernah selesai.

“Budaya seperti ini, (iaitu) menurunkan beberapa pe-mimpin disebabkan masalah yang timbul adalah budaya politik yang memalukan…,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Dr Mahathir agar Najib meletak jawatan ekoran pendedahan beberapa isu berkaitan kepimpinan beliau ketika ini.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan Najib perlu diberi ruang dan peluang yang cukup untuk memimpin negara sehingga berakhir tempoh pemerintahannya.

Ditanya sama ada tinda-kan PAS yang mahu Najib meneruskan khidmatnya sebagai perdana menteri sebagai ‘menangguk di air keruh’, Abdul Hadi berkata PAS perlu mengkritik kelemahan pentadbiran sedia ada demi kebaikan semua pihak.

“Jika kita nampak kelemahan ini, kita tegur kelemahan itu, menasihati dan islah,” katanya. — Bernama

 

 

Advertisement