Anda di sini

LKNS giat kembangkan bidang pengurusan harta intelek etnik

Advertisement

KOTA KINABALU: Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) giat memperkembangkan bidang pengurusan harta intelek etnik di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, usaha itu selaras dengan fungsi kewujudan Bahagian Warisan dan Harta Intelek di negeri ini.

Menurutnya, ia juga bersesuaian dengan kehendak enakmen yang diperkenalkan oleh LKNS.

Katanya, bidang itu sudah dilaksanakan tahun ini dan ia akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2022.

“LKNS akan memfokuskan bidang yang melibatkan pengetahuan tradisi dan pengetahuan budaya tradisi.

“Pelaksanaan di bawah RMK10 itu dilakukan menerusi Perayaan Kebudayaan Etnik Setempat (2010), Inventori Budaya Etnik (2010), Kosa Kata Etnik (2011), Budaya Balik Kampung (2013), Indeks Harta Intelek (2014) dan Klasifikasi Etnik Sabah (2014),” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi.

Masidi berkata, bidang penerbitan buku turut giat dilaksanakan oleh LKNS menerusi program Sayembara Menulis Novel.

Katanya, penerbitan siri pertama berjaya dihasilkan seperti ‘Nisan’ hasil karya Ruhaini Matdarin, ‘Taklik Cinta’ oleh Siti Rahmah G Ibrahim dan ‘Kolam’ oleh Chacho Bulah.

Selain itu, ‘Vinusak Putih’ pula dihasilkan oleh Kathirin Tati, ‘Pantai Sutera’ oleh Ramlah Abd Rashid dan ‘Sangkar Terapung’ oleh Juri Durabi turut dihasilkan menerusi siri kedua penerbitan berkenaan.

“Sehubungan itu, ahli LKNS yang baharu perlu bersiap sedia memberi sumbangan positif ke arah kemajuan kebudayaan yang ada di negeri ini.

“Ia selaras dengan misi yang ditetapkan oleh LKNS iaitu memulihara, memperkaya serta memajukan etnik di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, seramai lima ahli lembaga sedia ada LKNS dikekalkan jawatan masing-masing.

Masidi berkata, penambahan seorang ahli baharu iaitu Rizan Aziz menjadikan jumlah ahli lembaga seramai enam orang bagi perkhidmatan tahun ini sehingga 2018.

Menurutnya, pelantikan berkenaan diputuskan dengan mengambil kira aspek sumbangan positif yang diberikan kepada LKNS.

Selain itu, Masidi berkata kementerian bertanggungjawab dalam menggubal dan memantau dasar-dasar yang berkaitan kesenian dan kebudayaan yang sudah diwujudkan.

“Ia termasuklah menerusi pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan di negeri ini.

“Pelaksanaan itu juga selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) iaitu Pemuliharaan dan Pelindungan Warisan Budaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata inovasi berkaitan industri kreatif juga berpotensi untuk dibangunkan menerusi sektor kebudayaan yang ada.

“Inovasi itu merangkumi seni suara, seni muzik, pembuatan kraftangan dan seni visual. Industri ini mampu menjana pendapatan negeri sekali gus mengangkat penggiat seni tempatan,” katanya.

Justeru katanya, kemudahan infrastruktur perlu dipertingkatkan merangkumi bangunan, teknologi maklumat (ICT) dan sumber manusia bagi merealisasikan pembangunan kebudayaan khususnya di Sabah.

 

 

Advertisement