Anda di sini

Kembara Kerjaya Sabah 2015 babitkan enam daerah

Advertisement

KOTA KINABALU: Lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam program Kembara Kerjaya Sabah 2015 yang diadakan di enam daerah utama di negeri ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Muttalib berkata, enam daerah itu termasuk Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.

“Peluang seumpama ini tidak harus dilepaskan oleh rakyat Sabah yang ingin mendapatkan pekerjaan atau meningkatkan taraf pekerjaan.

“Lebih 100 majikan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia juga menyertai program ini yang berlangsung selama lima hari dengan menawarkan pelbagai jawatan daripada pelbagai sektor,” katanya ketika merasmikan program Kembara Kerjaya Sabah 2015 di sini kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ramlee Marahaban.

Ismail berkata, usaha itu yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Tenaga Kerja Sabah sudah tentu boleh menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Sabah.

Katanya, menerusi pameran yang diadakan itu, masyarakat umum akan dapat memperolehi maklumat mengenai peranan dan fungsi agensi yang terlibat.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Sumber Manusia (Jabatan Tenaga Kerja Sabah) Kamal Pardi berkata, kadar pengangguran di Sabah kini sudah menurun kepada 4.7 peratus berbanding 5 peratus sebelumnya.

Katanya, program yang berbentuk konvoi dan buat julung kali diadakan di Sabah itu diharapkan dapat membuka peluang kepada mereka yang mencari pekerjaan.

“Program yang diadakan ini diharap menjadi platform kepada golongan pencari kerja untuk bertemu secara terus dengan bakal majikan bagi mendapatkan informasi dan seterusnya dapat memilih pekerjaan yang sesuai.

“Peluang pekerjaan ini akan diluaskan kepada peserta Azam Kerja Azam Sabah yang golongan sasarnya terdiri daripada peserta e-Kasih,” katanya.

 

 

Advertisement