Anda di sini

Jangan memburuk-burukkan pemimpin kerajaan: Sairin

Advertisement

KENINGAU: Rakyat diingatkan agar tidak memburuk-burukkan pemimpin kerajaan di semua peringkat sebaliknya memberi pandangan positif agar pemimpin dapat merancang pembangunan untuk rakyat secara berterusan.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Sairin Karno berkata, perbuatan sedemikian bukan sahaja merugikan semua pihak akan tetapi menunjukkan sikap tidak menghormati antara satu sama lain.

Katanya, rakyat dan pemimpin kerajaan perlu ada hubungan yang baik bagi membolehkan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau yang juga ADUN Liawan berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Senagang di dewan serbaguna kampung itu pada Sabtu lalu.

Sairin berkata, rakyat juga perlu memberi ruang kepada pihak kerajaan dalam menambah baik pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) walaupun terdapat ketidakpuasan hati segelinitir pengguna terhadap pelaksanaan GST.

Beliau berkata, GST memberi pulangan kepada pelbagai pembangunan rakyat di negara ini hasil kutipan cukai berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Sairin berkata pembangunan Mukim Senagang yang masih banyak kekurangan akan ditangani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk agar mereka tidak tercicir dari arus pembangunan negara.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) memang komited memberi pembangunan kepada rakyat namun ia tidak dapat dilaksanakan sekali gus kerana ia memerlukan perancangan jangka panjang.

 

 

Advertisement