Anda di sini

100 rumah di Bukit Mertajam alami banjir kilat

Advertisement

BANJIR KILAT: Amran Ahmad dibantu oleh anak-anaknya mengangkat barang apabila rumahnya di Kampung Machang Bubuk dinaiki banjir kilat semalam. — Gambar Bernama

BUKIT MERTAJAM: Lebih 100 buah rumah di Machang Bubok, Permatang Rawa dan Tanah Liat di sini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat kira-kira tiga jam sejak awal pagi semalam.

Banjir kilat itu menyebabkan puluhan kenderaan penduduk ditengelami air manakala sebahagian jalan utama di sekitar Bukit Mertajam turut dinaiki air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Jalan Gajah Mati, Machang Bubok Ismail Ilan berkata hujan lebat sejak pukul 3.30 pagi menyebabkan kawasan kampungnya dinaiki air.

“Saya hanya sedar rumah saya dimasuki air kira-kira jam 6 pagi. Air naik sangat cepat. Saya dan isteri hanya ambil apa yang penting dan keluar dari rumah kerana bimbang air terus naik,” katanya.

Mohd Rushdi Idris, 45, pula berkata air parit di hadapan rumahnya mulai naik dengan cepat kira-kira jam 6.30 pagi sehingga memenuhi ruang tamu.

“Kejadian ini bukan yang pertama dan kami sekeluarga agak panik kerana air naik dengan cepat. Namun air surut kira-kira tiga jam kemudian dan kami terpaksa mencuci rumah kami. Banyak barangan elektrik yang rosak,” katanya.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Jack, 40-an, mendakwa projek pembangunan berhampiran kawasan kampung di sekitar Machang Bubok menyebabkan banjir kilat kerap melanda sejak kebelakangan ini.

“Kebanyakan tapak projek pembangunan lebih tinggi dari kawasan kampung sehingga menyebabkan air bertakung setiap kali hujan,” katanya yang berharap pihak berwajib akan membuat pemantauan bagi memastikan kejadian banjir kilat tidak berulang.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Perai memberitahu pihaknya memindahkan 16 orang penduduk ke sebuah masjid dan kesemua mereka dibenar pulang selepas air surut kira-kira tiga jam kemudian. — Bernama

 

Advertisement