Anda di sini

Tarik balik pembekuan: CUEPACS

Advertisement

Pembekuan pengambilan penjawat awam baharu boleh beri kesan buruk

LABUAN: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda menggesa agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menarik balik keputusan pembekuan pengambilan penjawat awam baharu dalam sektor kerajaan.

Berkata kepada media setelah merasmikan penutupan persidangan pihak berkuasa tempatan (PBT) Malaysia pada Jumaat lalu, beliau berkata keputusan pembekuan itu termasuk proses kenaikan pangkat pegawai.

“Keputusan ini sudah tentunya memberi kesan kepada golongan muda yang kini sedang mencari pekerjaan dalam sektor kerajaan termasuk lepasan ijazah, di mana ia boleh menyebabkan perasaan marah dan tidak puas hati dalam kalangan mereka. Lepasan ijazah akan berasa tertekan dan berfikiran bahawa pihak kerajaan tidak lagi menjaga kebajikan mereka iaitu dengan menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan.

“Ada tiga perkara yang pasti berlaku dalam perkhidmatan awam pada setiap tahun iaitu sebahagian penjawat awam akan bersara, sebahagiannya lagi ditamatkan perkhidmatan atas sebab tertentu dan kematian. Tiga perkara ini akan menyebabkan kekosongan pekerjaan dalam perkhidmatan awam.

“Jika kekosongan jawatan itu tidak diisi sebagai contohnya dalam unit penguatkuasaan, bagaimana pegawai atau anggota dalam unit itu boleh berkhidmat dengan berkesan?” soalnya.

Tambahnya, CUEPACS menolak keputusan itu dan menegaskan agar ia dibatalkan.

Azih berkata, berdasarkan respons yang diperolehi daripada orang ramai, keputusan itu seolah-olah memberi gambaran yang negatif terhadap kerajaan yang menurut pandangan mereka tidak mempunyai sumber yang cukup untuk mengambil penjawat awam yang baharu.

“Kita tidak boleh menerima keputusan itu walaupun pihak kerajaan memberi angka iaitu jumlah penjawat awam di seluruh negara kini mencecah 1.6 juta orang. Kami berpendapat jumlah itu tidaklah besar untuk negara yang luas seperti Malaysia yang merangkumi Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Seperkara lagi yang kita minta kepada kerajaan iaitu apabila mereka menyebut mengenai perkhidmatan awam, empat entiti iaitu polis, tentera, guru dan mereka yang bekerja dalam sektor kesihatan harus diutamakan untuk kepentingan negara.

“Kita tidak boleh berkata terdapat lebihan staf dalam empat entiti berkenaan dengan menyamakan keempat-empat entiti itu dengan perkhidmatan awam yang lain,” katanya.

Apabila ditanya berkenaan perbezaan elaun antara guru daripada Sabah dan Sarawak yang bertugas di Semenanjung dan guru Semenanjung yang bertugas di Sabah dan Sarawak, Azih berkata pihak CUEPACS akan meminta pihak kerajaan agar menyamaratakan pemberian elaun kepada semua guru termasuk elaun perumahan wilayah (EPW).

“Pada hari ini, kita tidak boleh lagi mengasingkan sebahagian daripada rakyat negara ini kerana misi kita ialah hendak menuju ke arah negara maju. Ia tidak betul jika pembayaran elaun masih lagi diasingkan. Kita mahu pembayaran EPW diseragamkan di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, terdapat 11 poin utama dalam resolusi yang dibincangkan dalam persidangan dua hari itu di mana resolusi berkenaan akan diserahkan kepada pihak kerajaan untuk penambahbaikan unit penguatkuasaan PBT di seluruh negara.

Advertisement