Anda di sini

Pondan berpeleseran akan dipantau, diambil tindakan

Kegiatan pondan di sekitar Kompleks Islam semakin berleluasa selepas pusat mereka di Jalan Haji Taha diserbu

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan memantau dan mengambil tindakan ke atas pondan-pondan yang berpeleseran di sekitar Kompleks Islam di sini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata ini kerana kegiatan pondan di kawasan tersebut semakin berleluasa selepas pusat mereka di Jalan Haji Taha sebelum ini sering diserbu.

“Dulu mereka di Jalan Haji Taha dan selepas kami mengambil tindakan, ada reda sikit tetapi sekarang mereka mula balik dengan pergi ke Kompleks Islam.

“Saya akan memberitahu Jabatan Agama Islam Sarawak untuk memantau dan mengambil tindakan ke atas pondan yang menjalankan kegiatan di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Berhubung penganjuran pertandingan ratu cantik untuk golongan pondan sempena sambutan Pra-Gawai di Miri yang sudah dibatalkan, Daud berkata JAIS masih menyiasat jika terdapat pondan yang beragama Islam menyertainya.

“Kalau beragama Islam maka JAIS akan mengambil tindakan ke atas mereka kerana bagi lelaki yang berpakaian perempuan dan bermekap, ia sudah bertentangan dengan agama Islam dan kita memang ada undang-undang mengenainya di Mahkamah Syariah.

“Namun sama ada daripada agama Islam atau bukan, kita juga mahu mereka diberi kaunseling supaya sedar bahawa walaupun mereka dilahir menjadi lembut tetapi janganlah ia dijadikan modal untuk publisiti dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Daud turut memuji pendirian Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang tidak akan menyokong sebarang penganjuran acara sedemikian kerana memahami sensitiviti agama dan budaya setempat.

“Perkara seperti ini tidak relevan di Malaysia kerana ia akan membawa isu negatif kepada masyarakat.

“Jadi, kami akan terus melakukan serbuan dari semasa ke semasa terhadap kegiatan pondan di seluruh negeri,” katanya.