Anda di sini

Beg berisi senjata yang ‘disembunyikan’ ditemui dekat Kampung Tanduo: Saksi

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu sebuah beg mengandungi sepucuk pistol, peluru dan magazin peluru, ditemui seolah-olah disembunyikan berhampiran Kampung Tanduo, Lahad Datu iaitu lokasi berlakunya pencerobohan oleh sekumpulan lelaki Sulu bersenjata.

Pegawai Staf 3 Markas 5 Briged, Kapten Kamarul Harith Abu Hurairah berkata beliau merampas barangan berkenaan ketika menjalankan tugas bersama Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja dalam operasi menjejak dan menangkap penceroboh Sulu bersenjata itu.

Kesemua item itu ditemui pada 17 April 2013, pada 1.30 tengah hari di kawasan semak di Tanjung Labian kira-kira empat hingga lima kilometer dari Kampung Tanduo, katanya.

“Beg sandang belakang tersebut berwarna hitam dengan perkataan ‘EXTEAM’. Ia mengandungi satu pistol dipercayai jenis Colt .45, yang mempunyai tulisan ‘UNITED STATES PROPERTY 796352-M1911 US ARMY’ dan dua kelopak peluru yang mana satu berkarat dan satu berwarna perak.

“Dalam beg itu juga ditemui 20 peluru, masing-masing mempunyai tulisan — lima peluru ditulis ‘RAI 12 45 AUTO’, enam ditulis ‘A USA 45 AUTO’, tiga tulisan ‘AP 06 45 AUTO’, dua tulisan ‘AP 08 45 AUTO’, dua ditulis ‘BM 08 45 AUTO’, satu tulisan ‘RAI 08 45 AUTO’ dan satu ditulis ‘45 AUTO M-M’,” katanya.

Pegawai tentera itu memberi keterangan sebagai saksi ke-96 pendakwaan dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh sekumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo dua tahun lepas.

Kamarul Harith memberitahu mahkamah, terdahulu pada hari yang sama (17 April 2013) saksi dan pasukannya menemui 21 item yang terkumpul di kawasan semak di Sungai Bilis.

Beliau berkata antara barangan itu ialah sehelai kemeja berwarna hijau yang mempunyai perkataan ‘SULTANATE OF SULU AND NORTH BORNEO’; kemeja celoreng dengan perkataan ‘ROYAL SECURITY FORCE’ dan di bawahnya tulisan ‘INTERIM SUPREME ROYAL RULING COUNCIL’; tali pinggang ala tentera; 18 kelongsong peluru 5.5mm dan dua peluru hidup 5.5mm.

Barangan lain ialah sehelai kain panjang dipercayai tangkal; kain celoreng; sebuah kamera dan sarungnya berwarna hitam; beret berwarna kuning yang mempunyai perkataan ‘Ultraman’; sebuah buku yang mempunyai nota ditulis dalam tulisan jawi dan sekeping kertas bersaiz A4 dengan tulisan bertaip. — Bernama

Advertisement