Anda di sini

APMM tahan kapal tangkap ikan secara tidak sah

Advertisement

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal yang disyaki menjalankan kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah melibatkan rampasan berjuta ringgit dan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pengerang, Sabtu lepas.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata kapal itu ditahan ketika sedang memindahkan ikan ke atas bot tunda di kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika tenggara Tanjung Penyusup.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal yang berdaftar di Lagos, Nigeria itu, membawa lebih kurang 330 tan metrik ikan kerapu yang dipercayai bagi pasaran ke Jepun, Hong Kong dan juga Taiwan,” kata beliau kepada pemberita dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata kapal terbabit turut membawa 38 kru terdiri daripada 25 warganegara Indonesia, empat Sepanyol, tujuh Senegal dan dua Chile, berusia antara 22 hingga 24 tahun.

“Manakala bot tunda tersebut tidak membawa sebarang dokumen manifes dengan menunda bersama sebuah tongkang yang dilengkapi dengan sebuah kren. Terdapat sembilan krew terdiri daripada lima warga Indonesia, dua warga India, seorang warga Bangladesh dan seorang warga Singapura, berusia 26 hingga 52 tahun,” kata Amran.

Beliau berkata kesemua ikan terbabit dimuatkan dalam lima kontena sejuk beku dan juga di dalam ruang kargo yang mana jumlah rampasan dianggarkan bernilai jutaan ringgit mengikut harga pasaran dunia.

Harga jualan bagi sekilogram ikan kerapu bernilai lebih RM70.

Amran berkata, kapal terbabit juga tersenarai sebagai sebuah kapal yang terlibat dengan kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal dan dikehendaki oleh Conservation of Antartic Marine Living Resources (CCAMLR) kerana sering bertukar-tukar nama kapal untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Sehubungan dengan itu, tiga kru kapal dan dua kru dari bot tunda berkenaan dibawa ke pejabat APMM Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B (1) (l) iaitu berlabuh tanpa kebenaran, dan Seksyen 491B (1) (k) iaitu melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran yang jika bersalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta. — Bernama

Advertisement