Anda di sini

Tubuh pusat penyu di Kuala Penyu: Pairin

Advertisement

KUALA PENYU: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mencadangkan untuk menubuhkan sebuah Pusat Pemeliharaan dan Perlindungan Penyu di daerah Kuala Penyu bagi meningkatkan populasi spesies terancam itu.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja mampu menambah bilangan haiwan itu, tetapi juga dapat melindunginya daripada kepupusan.

Katanya, ia wajar berikutan kedudukan daerah itu yang strategik termasuk terkenal dengan laut dan pantainya yang sememangnya sesuai bagi tujuan berkenaan.

Jelas Pairin, walaupun spesies itu agak berkurangan di kawasan itu berbanding tempat lain, namun ia sebenarnya tidak menjadi masalah kerana kira-kira 60 ekor anak penyu telah pun dilepaskan di pantai Kuala Penyu, baru-baru ini.

“Yang penting semua anak-anak penyu ini sama ada dari kawasan ini atau tempat lain boleh dibawa ke pusat berkenaan untuk tujuan pemeliharaan seterusnya dibiakkan bagi menambah populasinya.

“Keadaan persekitaran Kuala Penyu yang strategik kerana dikelilingi laut amat sesuai untuk tujuan ini, sekali gus mampu menarik pelancong luar datang ke kawasan ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Kuala Penyu, di Dewan Shahbandar Makang, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Limus Jury; Timbalan Ketua UPKO Bahagian Beaufort, Fredolin Penggo dan Naib Ketua UPKO Bahagian Beaufort, Mohd Lokman Sunggim.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, bagi memastikan usaha ini berjaya, pusat itu nanti boleh mencontohi kaedah yang diguna pakai sebuah pusat pemeliharaan dan perlindungan penyu di Pulau Cayman.

Beliau berkata, pusat berkenaan yang terletak di Barat Kepulauan Carribean itu juga bukan sahaja berjaya melindungi haiwan itu daripada pupus malah berhasil memastikan populasi penyu di kawasan itu terus berkembang.

“Pulau Cayman sebelum ini pernah dilanda ribut kencang hingga mengakibatkan sebahagian besar penyu di situ berkurangan secara drastik menyebabkan pihak berkuasa mengambil langkah strategik dengan menubuhkan pusat berkenaan.

“Hasilnya, berjuta-juta ekor anak penyu berjaya dibiakkan di Pulau Cayman setiap tahun menerusi kaedah dan teknologi PPPP mereka walaupun sebelum ini menghadapi krisis kekurangan penyu yang kritikal.

“Justeru, saya berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan pusat sedemikian di Kuala Penyu agar populasi marin ini terus dilindungi dan semakin bertambah,” katanya.

Advertisement