Anda di sini

Pentas utama Padang Siol Kpg Hungab akan dinaik taraf

Advertisement

PENAMPANG: Pentas utama Padang Siol Kampung Hungab, dekat sini, akan dinaik taraf untuk kegunaan dan keselesaan masyarakat sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua MCA Bahagian Penampang, Datuk Francis Goh berkata, satu perbincangan telah dibuat dengan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Penampang khusus UPKO untuk mendapatkan dana kira-kira RM200,000.

“Selepas dana ini berjaya dikumpul, syarikat saya Kinsabina akan menyiapkan projek ini dalam masa sebulan.

“Selepas siapnya projek ini, satu pertandingan bola sepak di antara 10 kampung di sini akan dianjurkan,” katanya pada majlis Pesta Kaamatan Peringkat Kapayan di sini kelmarin.

Beliau berkata MCA Bahagian Penampang buat julung kalinya menganjurkan pesta itu kerana MCA sedang mengemas kini polisi, iaitu tidak sahaja menjaga kebajikan sosial dan kebudayaan masyarakat Cina, tetapi juga memberi perhatian saksama kepada kaum lain kemasuk masyarakat KadazanDusun dan Murut (KDM) di Penampang.

Katanya, walaupun MCA Penampang setiap tahun menganjurkan perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Natal, tetapi tidak melupakan masyarakat KDM untuk bersama-sama merayakan Pesta Kaamatan.

“Saya dengan ikhlas hati menaja kesemua perbelanjaan dalam pesta ini yang berjumlah RM120,000 kesemuanya.

“Saya harap dengan adanya perayaan seperti ini, parti komponen BN di sini akan terus menjalin hubungan persahabatan yang lebih erat bersama kesemua kaum,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pesta Kaamatan itu yakin dengan pembabitan MCA dalam membantu dan merayakan pesta kaamatan tahun depan akan diteruskan demi membantu kaum Kadazan Dusun dalam mempromosi identiti warisan budaya itu.

Hadir sama Pengerusi BN Penampang merangkap Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin, Ketua MCA Bahagian Penampang, Datuk Paul Kong, Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose, dan Pegawai Daerah Penampang, Luvita Koisun serta wakil komponen BN yang lain.

Advertisement