Anda di sini

Malaysia berjaya urus hubungan kaum dengan baik

Advertisement

PERPADUAN: Kurup menyempurnakan acara perasmian Pesta Kaamatan Rancangan Belia Tiulon, Keningau.

Setiap perayaan yang diraikan berperanan eratkan hubungan antara kaum: Kurup

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berjaya menguruskan hubungan dan kepelbagaian kaum dengan baik sekali dan memastikan terus terpelihara.

Katanya, setiap program yang diadakan mempunyai peranan untuk mengeratkan hubungan dan memupuk perpaduan masyarakat Malaysia khususnya di negeri ini yang berlandaskan persefahaman budaya.

“Komitmen serta sokongan terhadap usaha dan inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan dalam mewujudkan aktiviti kekitaan terutama dalam kita meraikan Tadau Kaamatan setiap tahun dapat mempertingkatkan lagi ikatan perpaduan dan kemesraan yang terjalin antara rakyat di negara ini,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Rancangan Belia Tiulon Sook, kelmarin.

Katanya, ciri-ciri kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat juga telah membuktikan ianya sebagai sesuatu kekuatan kepada negara ini untuk terus maju dan berdaya saing.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, perpaduan yang ingin dibina dan hanya boleh dicapai bilamana setiap etnik yang ada di negara ini saling hormat-menghormati, bertolak ansur serta melengkapi antara satu dengan yang lain dan bukannya memendam rasa curiaga sesama sendiri.

“Perpecahan, sedikit yang kita boleh lakukan, tetapi jika kita bersatu maka sedikit perkara yang tidak boleh kita lakukan.

“Seorang Sarjana, Daisaku Ibeda berkata, “Keamanan tidak akan dapat dicapai jika pasif menunggu untuk itu. Semua yang diperlukan untuk membina budaya keamanan wujud dalam setiap hati kita.”

“Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat dalam menentukan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini akan terus kekal buat selama-lamanya.

“Justeru semangat perpaduan dan kesatuan rakyat pelbagai kaum perlu disemai dalam kalangan generasi muda terutama pelajar untuk melahirkan sebuah negara yang harmoni serta makmur,” katanya.

Kurup berkata, terbukti, tanpa perpaduan nasional tidak mungkin akan wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada segala-galanya.

Katanya, rakyat perlu ingat bahawa merealisasikan perpaduan nasional bukannya tugas sehari, seminggu, sebulan dan sebagainya.

Tetapi, tegasnya, ia adalah usaha yang perlu dilakukan secara berterusan iaitu sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun yang lalu.

Menurut beliau, amanah ini akan terus menjadi perjuangan yang akan diwariskan dari generasi ke generasi khususnya golongan muda dan belia dan tugas ini perlu dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan keinsafan dalam diri setiap rakyat di negara ini.

Mengenai pesta itu, Kurup berkata ia merupakan satu perayaan bagi kaum Kadazan Dusun dan Murut (KDM) sebagai tanda memuja semangat padi, menghormati Bambarayon dan majlis ini amat besar maknanya dalam usaha mengekalkan adat budaya tradisi pesta ini dan sekali gus dapat memupuk perpaduan di kalangan masyarakat khususnya penduduk di kampong ini.

“Saya dapat merasakan kemeriahan majlis ini yang penuh dengan semangat Kaamatan cukup tinggi dan ini menunjukkan kita mahu lihat agar masyarakat terus bersatu di bawah payung perpaduan,” katanya.

Kurup berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) terus membantu masyarakat di luar bandar dengan peruntukan yang meningkat setiap tahun.

Katanjya, ini adalah bertujuan menyediakan prasarana kepada masyarakat di mana sahaja beberapa projek seperti pembinaan jalan Sook-Sinua, pembaikan sekolah-sekolah, pembinaan rumah PBR yang merupakan kemudahan asas terus dipertingkatkan dari masa ke masa.

Menurut beliau, pembangunan yang dilaksanakan di kampung ini seperti pembinaan dewan baharu, klinik kesihatan, pemagaran sekolah serta pembangunan pertanian meliputi tanaman getah, sawit dan keladi merupakan antara usaha kerajaan BN yang sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan rakyat di kawasan ini.

Beliau berharap agar rakyat di kawasan Sook dan Parlimen Pensiangan agar terus bersatu dan menyokong usaha kerajaan demi untuk pembangunan yang berterusan di kawasan ini.

“Saya juga berharap semoga Tadau Kaamatan yang kita sambut ini akan memberi kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan kepada rakyat khususnya rakyat di negeri Sabah,” katanya.

Advertisement