Anda di sini

KPDNKK periksa 236,701 premis sepanjang pelaksanaan GST

Advertisement

Pemantauan terhadap caj perkhidmatan di hotel, restoran diteruskan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melakukan 236,701 pemeriksaan di premis perniagaan di seluruh negara menerusi Ops Catut mulai 1 April hingga 7 Mei lepas.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April sehingga 7 Mei, sejumlah 5,597 aduan dikemukakan menerusi sistem e-Aduan kementerian itu.

“Sebanyak 649 kes disiasat dan daripada jumlah itu 260 kes telah dikenakan kompaun.

“Sebanyak tiga kes berada pada peringkat akhir siasatan manakala tiga kes kini sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Tangani Kenaikan Harga Barang di Pasar Lama Sungai Besi di sini, semalam.

Turut sama dalam operasi berkenaan ialah Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayuddin.

Alias berkata KPDNKK turut menerima lapan aduan berkaitan caj perkhidmatan di kedai makan dan restoran menerusi sistem e-Aduan laman sesawang KPDNKK dan lima aduan di kedai-kedai runcit.

“Pemantauan terhadap caj perkhidmatan di hotel dan di restoran akan diteruskan, empat kes telah dibuka kertas siasatan kerana pemilik tidak mempamerkan notis bahawa premis mereka mengenakan caj perkhidmatan di tempat yang senang lihat, sabit kesalahan mereka boleh didakwa sehingga RM100,000.

“Ini menunjukkan gerakan yang dibuat oleh KPDNKK adalah berterusan, jadi kita tidak berdiam diri dan sampaikan mesej ini kepada pengguna bahawa kita prihatin segala aduan dan kita turun padang,” katanya.

Sementara itu dalam operasi di Pasar Lama Sungai Besi, KPDNKK telah membuat pemeriksaan terhadap 177 premis dan 10 kes diambil tindakan. — Bernama

Advertisement