Anda di sini

Kanak-kanak maut terkena dahan jatuh

Advertisement

ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak maut akibat terkena dahan pokok ru yang patah akibat dipanah petir di hadapan sebuah chalet di Pengkalan Balak di sini pagi semalam.

Ketika kejadian jam 8.20 pagi itu, Muhammad Shahir Putra Mohd Shahril Nizri, 5, dan kakaknya Nursharina Alfishah, 7, berada di hadapan chalet yang disewa keluarganya.

Dahan pokok yang terpelanting itu mengenai bahagian belakang kepalanya menyebabkan dia rebah.

Ibu mangsa Nadiah Jamaludin, 28, berkata anak-anaknya sedang menunggu beliau dan suaminya untuk turun ke pantai.

“Saya dan suami (Mohd Shahril Nizri Mohd Shoif, 30) ketika itu sedang bersiap-siap di dalam chalet apabila saya terdengar bunyi petir kuat yang disusuli dengan bunyi dahan pokok patah.

“Saya bergegas keluar bilik dan terkejut apabila melihat Shahir rebah di dalam longkang depan chalet dengan kepalanya berlumuran darah. Saya memanggil suami saya yang kemudian memberi bantuan pernafasan kepada Shahir,” kata Nadiah di Hospital Alor Gajah.

Beliau yang merupakan kakitangan sebuah hospital swasta berkata beliau dan suaminya kemudian membawa anak mereka ke Hospital Kem Terendak.

“Saya dapati anak saya mula kaku dalam pangkuan saya ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Keluarga tersebut dari Klang, Selangor serta enam keluarga lain tiba di Pengkalan Balak petang kelmarin untuk bercuti dan bercadang mendaftar keluar pada tengah hari tadi (semalam).

Mayat kanak-kanak itu telah dibawa balik untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Klang. — Bernama

Advertisement