Anda di sini

SEEDS mahu wujud masyarakat moden dan sederhana

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS) mahu mewujudkan masyarakat yang moden, progresif dan sederhana di negara ini terutama di Sabah.

Pengerusinya Datuk Badil Zaman Fazul Rahman berkata misi utama pertubuhan itu ialah untuk memupuk masyarakat yang mempunyai pemikiran progresif dan rasional walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kelompok masyarakat di negara ini.

“Kami percaya SEEDS akan mewujudkan platform untuk penglibatan aktif secara akademik dan sejarah dan bukannya mencetuskan interpretasi emosi (dalam kalangan masyarakat),” katanya pada pelancaran program memperkenalkan SEEDS di sini kelmarin.

Beliau berkata anggota SEEDS kebanyakan ialah penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya dan profesional dan berharap untuk menyumbang dalam membangunkan negara dan meningkatkan tadbir urus negara melalui cadangan dasar, program pendidikan dan keusahawanan.

SEEDS, yang ditubuhkan tahun lepas, ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan dan sebagai felo di SEEDS, anggota-anggota ditugaskan untuk menulis komentar dan mengemukakan cadangan penyelidikan mengenai subjek melibatkan kepentingan negara.

Ia juga menganjurkan ceramah, forum dan seminar mengenai isu-isu kepentingan strategik di Sabah seperti imigresen, keselamatan sempadan, hubungan Persekutuan-Negeri dan memberi tumpuan kepada generasi muda berumur bawah 40 tahun.

“Oleh kerana membangunkan negara dan bangsa merupakan satu perjalanan hidup yang mengambil masa yang lama, kita perlu bermula dari sekarang,” katanya. — Bernama

Advertisement