Anda di sini

Parlimen bukan ‘rubber stamp’

Advertisement

Ia institusi berkesan sebagai penggubal undang-undang negara: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tidak pernah menganggap Parlimen sebagai ‘rubber stamp’, sebaliknya sebagai institusi yang berkesan sebagai penggubal undang-undang negara.

Beliau berkata dalam menggubal undang-undang yang terbaik dan dapat diterima, anggota legislatif berpeluang memberi pandangan dan cadangan dalam rang undang-undang yang dikemukakan kerajaan, sekali gus membuktikan Parlimen bukan sekadar meluluskan undang-undang yang dibawa oleh pihak eksekutif.

“Bukan sahaja undang-undang itu dibawa oleh pihak eksekutif tapi pihak legislatif juga boleh beri pandangan dan cadangan dan adakalanya cadangan itu diterima dan dibuat pindaan sewaktu rang undang-undang itu dibahas.

“Ini menunjukkan bahawa dari pihak eksekutif termasuk bagi diri saya, tidak pernah menganggap Dewan Parlimen sebagai ‘rubber stamp’ sahaja.

(Sebaliknya) saya amat menghargai kualiti perbahasan termasuk cadangan yang dibawa oleh ahli Parlimen dalam perbahasan di peringkat Parlimen,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Malaysia 2015 di sini semalam.

Persidangan dua hari yang diadakan secara tertutup itu diaktifkan semula oleh Parlimen Malaysia selepas kali terakhir diadakan pada 2007.

Ia antara lain bertujuan mengeratkan hubungan antara Parlimen dan DUN, menjadi wadah perkongsian pengetahuan dan meningkatkan keupayaan dalam pengendalian Dewan Perundangan masing-masing agar lebih efektif dan berwibawa.

Najib merangkap Ketua Majlis Mesyuarat Parlimen berkata Speaker Parlimen dan DUN juga perlu membuktikan keberkesanan Dewan Perundangan sebagai penggubal undang-undang negara dan memastikan undang-undang yang diluluskan itu berkualiti tinggi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata antara cabaran utama yang dihadapi oleh mereka dalam menjalankan tugas dan peranan semasa perbahasan ialah mengurus prasangka, persepsi dan mengendalikan parti politik sama ada di pihak kerajaanmahupun pembangkang.

Najib turut menggesa Speaker Parlimen dan DUN untuk memberi perhatian kepada usaha meningkatkan lagi reputasi, kredibiliti dan integriti Dewan Perundangan masing-masing berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan atau negeri dan Peraturan Dewan.

Sambil menegaskan budaya perbahasan terbuka ketika mengendalikan urusan dewan juga perlu disuburkan, Najib berkata: “Saya berharap semua Speaker Parlimen dan DUN dapat memanfaatkan persidangan ini untuk bertukar pandangan dan pengalaman masing-masing dalam memantapkan pengurusan persidangan dewan.”

Najib yang akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 pada 21 Mei ini di Dewan Rakyat juga berharap insitusi Parlimen dan DUN terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang ke atas program kerajaan.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan peranan Speaker Parlimen dan DUN kini semakin mencabar dalam memastikan perjalanan persidangan dewan berjalan lancar.  — Bernama

Advertisement