Anda di sini

Malaysia bertuah tidak terperangkap ideologi rigid

Advertisement

Perbezaan ideologi mengundang perang saudara dan rakyat berbunuhan untuk menegakkan kepercayaan

KOTA KINABALU: Malaysia negara yang bertuah kerana tidak terperangkap dengan sesuatu idelogi rigid yang boleh mengundang banyak masalah termasuk kestabilan politik dan keselamatan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata kejayaan negara ini dalam pelbagai bidang haruslah dihargai dan dipuji, diukur seadil-adilnya serta dinilai pencapaian besarnya secara menyeluruh, walaupun kerajaan yang memerintah tidak sempurna seratus peratus.

Katanya seperti yang berlaku di beberapa negara, perbezaan ideologi boleh mengundang perang saudara dan rakyat berbunuhan sesama sendiri demi menegakkan ideologi serta kepercayaan masing-masing.

Ideologi dan kepercayaan melampau itu biasanya akan mengundang dasar ekonomi tertutup dan curiga kepada pemodal asing, katanya.

“Di Malaysia dasar kerajaan kita semenjak merdeka adalah bijaksana dan pragmatik. Dasar kerajaan berubah mengikut keperluan dan kehendak semasa rakyat dan negara atau proses transformasi yang baik dan teratur,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini semalam.

Abdul Rahim, yang juga Ahli Parlimen Kudat, berkata Malaysia dibangunkan dengan tulang empat kerat antara lain bersumberkan modal insan dan pendidikan.

“Kestabilan dan keamanan yang berjaya diwujudkan kerajaan memerintah semenjak merdeka menjadikan Malaysia antara negara termaju di dunia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun institusi kerajaan di negara ini masih kukuh dan majoriti masih berpegang teguh serta menghormati perlembagaan, namun semakin ramai golongan yang cuba menggugat kebaikan yang dimilik Malaysia.

“Semakin ramai yang tidak peduli, tidak menghormati dan cuba mengetepikan kontrak sosial dan inti pati yang terkandung dalam Perlembagaan. Mereka cuba mewujudkan ketidakharmonian rakyat dan cuba menanam persepsi dan kebencian melampau.

“Jika tidak dikawal, jika perbalahan dan kebencian sudah keterlaluan jadinya, ia akan menjadi anarki dan tidak mustahil membawa kepada pertumpahan darah dan perang saudara. Api kecil menjadi kawan, jika nyalanya membesar sudah menjadi lawan,” katanya. — Bernama

Advertisement