Anda di sini

Kewujudan daerah baharu Kuala Nerus tepat: Sultan Mizan

Advertisement

KUALA NERUS: Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah kewujudan Kuala Nerus sebagai daerah kelapan di Terengganu adalah amat tepat berikutan penduduk Terengganu semakin bertambah.

Pada masa yang sama baginda mahu kerajaan negeri merancang landskap pembangunan serta infrastruktur Kuala Nerus dengan teliti serta mengekalkan ekosistem alam semula jadi.

“Pertambahan penduduk akan meningkatkan bebanan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri selain tuntutan dan keperluan rakyat semakin berkembang. Ini sudah pasti memerlukan kepada pengurusan dan pentadbiran yang cekap dan berkesan.

“Maka keputusan kerajaan menubuhkan daerah Kuala Nerus adalah amat tepat dan selaras dalam usaha kerajaan negeri beta yang memberi dan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada rakyat,” titah baginda ketika merasmikan majlis peletakan batu asas pusat pentadbiran Kuala Nerus dan pengisytiharan bandar baharu Daerah Kuala Nerus di Kampung Baruh Tok Jiring di sini.

Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Seluas 187.76 hektar tanah akan dibangunkan bagi membina pusat pentadbiran daerah Kuala Nerus yang akan berkonsepkan Bandaraya Moden dan Hijau.

Baginda berasa sukacita berikutan penubuhan daerah baharu itu, ia bakal memberi kemudahan kepada 200,000 penduduk yang selama ini berurusan dengan jabatan kerajaan di Kuala Terengganu yang agak jauh dan menyukarkan.

Menurut Sultan Mizan, Kuala Nerus sudah mempunyai komponen pendidikan yang lengkap seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Maktab Rendah Sains MARA dan pelbagai pusat latihan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytihar Kuala Nerus sebagai bandar baharu tahun lalu.

Kuala Nerus merupakan pintu masuk utama ke Terengganu kerana terdapat Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Telaga Batin dan pintu keluar ke Lebuhraya Pantai Timur II di Gemuroh. — Bernama

Advertisement