Anda di sini

Borneo Divers and Sea Sports hos Hari Penyu Sedunia Mabul

Advertisement

Galak manusia menjamin kelangsungan hidup populasi penyu

KOTA KINABALU: Borneo Divers and Sea Sports (Sabah) Sdn Bhd akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Penyu Sedunia Mabul dari 18 hingga 21 Mei ini.

Pengurus Besarnya, Luke J. Cox berkata acara berkenaan akan diadakan di Borneo Divers Mabul Resort dekat Semporna dan bakal dirasmikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi.

“Tujuan acara ini diadakan adalah untuk menarik perhatian, meningkatkan kesedaran tentang penyu dan kura-kura serta menggalakkan manusia menjamin kelangsungan hidup makhluk itu.

“Bancian susulan terhadap populasi penyu karah dan aktiviti menangkap, merakam gambar, mengukur dan memasang tag pada penyu ini juga akan diadakan,” katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.

Cox berkata aktiviti lain ialah permainan pendidikan untuk kanak-kanak, pertandingan fotografi amatur, membersih pantai dan dasar laut serta demonstrasi cara mengukur dan memasang tag pada penyu.

Menurutnya acara itu diadakan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah; Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI), Universiti Malaysia Sabah; The Borneo Connection Sdn Bhd, Sipadan Mabul Resort, Pejabat Daerah Semporna dan Jabatan Pendidikan Sabah.

Sementara itu, pensyarah kanan BMRI, Dr Pushpa Palaniappan berkata sebahagian besar pembiayaan projek populasi penyu tamu di kepulauan Sipadan dan Mabul diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Sejak 2010, sebanyak 228 penyu di Mabul sudah dipasang tag,” katanya. — Bernama

Advertisement