Anda di sini

Polis buru suspek menembak dan mencederakan betis seorang pembantu mekanik

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis sedang memburu seorang lelaki berumur 43 tahun yang menghilangkan diri selepas menembak dan mencederakan betis seorang pembantu mekanik lelaki berumur 36 tahun, di sebuah bengkel membaiki pendingin hawa kenderaan di Jalan Tuaran, petang kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata suspek yang beralamat di Shah Alam, Selangor, disyaki melepaskan tiga das tembakan menggunakan sepucuk pistol ketika bergelut dengan mangsa di bengkel tersebut dalam kejadian jam 2.30 petang itu.

“Semasa pergelutan itu, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dari beg kecil dan mengacukan pistol tersebut kepada pengadu. Pengadu cuba menghalang, namun suspek sempat melepaskan tiga das tembakan dan satu daripadanya menembusi betis kanan pengadu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata sebutir peluru turut dijumpai di luar bengkel berkenaan dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

Jalaluddin berkata pemeriksaan ke atas sebuah kereta ditinggalkan suspek di luar bengkel berkenaan membawa kepada penemuan topeng hitam, satu plastik mengandungi kristal lut sinar disyaki syabu dan alat penimbang elektronik dipercayai digunakan untuk menimbang syabu di dalam kenderaan tersebut.

Beliau berkata kesemua barangan berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Usaha mengesan suspek masih dijalankan. Bantuan daripada polis daerah dan  jabatan luar akan diperoleh bagi melancarkan siasatan,” katanya.  — Bernama

Advertisement