Anda di sini

Ikan kering tarikan bandar Tawau

Advertisement

Pilihan utama pengunjung sebab harga yang murah dan berkualiti tinggi

TAWAU: Ikan kering atau ikan masin yang dijual di Pasar Tanjung Tawau antara tarikan utama pengunjung luar datang ke daerah ini, yang terletak kira-kira 570 kilometer dari Kota Kinabalu.

Ikan kering yang dijual di aras satu Pasar Tanjung Tawau menjadi pilihan utama pengunjung kerana harganya jauh lebih murah berbanding ikan masin yang dijual di kawasan lain di seluruh Sabah.

Ramai pengunjung luar yang datang dari Semenanjung Malaysia, Labuan, Sarawak, pelancong asing malah penduduk Sabah dari daerah lain tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar berkenaan untuk membeli ikan kering sekiranya mereka datang ke daerah yang terletak di pantai timur Sabah ini.

Antara jenis ikan kering yang dijual di situ adalah ikan putih, ikan ketamba, ikan kurau, ikan bilis, ikan kerapu, ikan tulai dan udang kering keluaran tempatan dan Indonesia, yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Pasar Tanjung Tawau yang terletak di Jalan Dunlop, berhampiran laut dan bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau turut menempatkan pelbagai jenis jualan seperti keperluan dapur termasuk makanan mentah, namun ikan kering tetap menjadi tumpuan utama kebanyakan pengunjung.

“Saya datang ke Tawau untuk berjumpa seorang kawan dan saya tidak melepaskan peluang berkunjung ke pasar ini untuk membeli ikan kering kerana harga di sini lebih murah berbanding di tempat saya, dan setiap kali ke Tawau saya mesti membeli ikan kering sebelum bertolak balik ke Kota Kinabalu,” kata Daniel Sibin, 37, ketika ditemui di pasar berkenaan baru-baru ini.

Daniel yang berasal dari Tamparuli berkata, ikan kering yang dijual di Pasar Tanjung Tawau bukan sahaja murah malah ia sangat berkualiti.

“Selalunya saya akan membelanjakan lebih RM400 untuk membeli ikan kering di sini kerana saya jarang ke Tawau. Antara ikan kering yang selalu saya beli ialah ikan putih, ikan bilis dan udang kering,” katanya.

Ramai pengunjung luar yang datang ke Tawau beranggapan kunjungan ke Tawau tidak lengkap sekiranya mereka tidak membeli ikan kering di Pasar Tanjung.

Sunardy Sofian, 35, berkata setiap kali berkunjung ke Tawau beliau akan datang ke Pasar Tanjung untuk membeli ikan kering.

“Saya ke Tawau untuk beberapa urusan dan setiap kali ke Tawau saya akan membeli ikan kering untuk dibawa balik ke kampung saya di Tuaran.

Peniaga ikan kering yang hanya dikenali sebagai Ija, 48, pula berkata kebanyakan pelanggan yang sering berkunjung untuk membeli ikan keringnya datang dari daerah lain.

“Ada juga pelanggan dari Semenanjung dan Sarawak. Ada beberapa pelanggan yang membeli ikan kering lebih RM1,000 sekali beli.

“Selalunya para penjual di sini akan memberi potongan harga mengikut berapa banyak pelanggan itu beli. Kalau pelanggan itu beli banyak kami juga akan beri banyak diskaun,” katanya yang menjual pelbagai jenis ikan kering termasuk ikan bilis dan ikan kerapu.

Tinjauan Bernama di pasar itu menyaksikan kebanyakan peniaga memulakan perniagaan seawal jam 6 pagi dan menutup perniagaan pada 6 petang, namun jika masih ramai pelanggan masa perniagaan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada pembeli terutama yang datang dari luar kawasan daerah ini.  — Bernama

Advertisement