MUAR: Seorang pemandu lori ais putus pergelangan kaki kirinya selepas terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan berat di Kilometer 4 Jalan Muar-Melaka, berhampiran Kampung Tanjung Gading, Ledang di sini, semalam.
Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmud berkata dalam kejadian pada jam 11.15 pagi itu, Mohd Gan Abdullah, 33, cedera parah pada bahagian kaki selepas lori ais yang dipandunya dirempuh sebuah lori tanah dan lori membawa muatan perabot.
“Ia berlaku selepas lori membawa muatan tanah hilang kawalan selepas tayar meletup dan terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh lori membawa perabot dan lori ais yang ketika itu berhenti di tepi jalan tersebut.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan ketiga-tiga kenderaan berat itu terbalik dan terhumban ke dalam parit berhampiran,” katanya ketika dihubungi.
Katanya ketika sampai di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati ketiga-tiga pemandu lori terbabit tersepit di dalam kenderaan masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian.
Beliau berkata bagaimanapun pemandu lori tanah dan perabot hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lori ais itu dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut, — Bernama