Anda di sini

Rakyat Sabah diminta terus lestarikan Pesta Kaamatan

Advertisement

PAPAR: Rakyat di negeri ini diminta terus melestarikan sambutan Pesta Kaamatan sebagai elemen untuk memperkukuhkan perpaduan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja diraikan bagi melahirkan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi yang banyak, tetapi lebih penting ia adalah perayaan yang berupaya mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan kekeluargaan rakyat daripada pelbagai kaum, etnik dan budaya di negeri ini.

Katanya, walaupun rakyat di negeri ini terdiri lebih 32 suku kaum dan etnik namun ia bukan halangan bagi mewujudkan kehidupan dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

“Kita (rakyat) di negeri ini sentiasa bekerjasama dan tidak menjadikan perbezaan sebagai penghalang untuk memajukan negeri. Inilah yang menjadikan perpaduan rakyat Sabah menjadi contoh terbaik semangat 1Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Labak, di sini kelmarin.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Papar, momentum itu perlu terus dipelihara dan ditingkatkan agar tidak ada anasir luar yang cuba meracuninya dengan benih kebencian sehingga menjejaskan perpaduan yang sekian lama terjalin dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Rosnah berkata, tidak dinafikan terdapat cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Bagaimanapun, saya yakin rakyat Malaysia di Sabah tidak akan mudah terpengaruh dengan tindakan itu. Sebaliknya, akan terus mengukuhkan perpaduan demi pembangunan dan kemajuan yang berterusan,” katanya.

Beliau menggesa rakyat negeri ini agar sentiasa bersama-sama dengan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan dan memacu kemajuan negeri.

“Marilah kita memberi sokongan dan dukungan kepada kerajaan agar usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dalam perkembangan sama, Rosnah berkata Pesta Kaamatan boleh menjadi platform bagi memberikan pendedahan mengenai kebudayaan dan kesenian kaum bumiputera di Sabah kepada generasi muda yang kini lebih terdedah kepada budaya luar ekoran ledakan kemajuan teknologi maklumat.

“Sudah pasti melalui aktiviti kebudayaan seumpama ini membolehkan generasi muda/anak-anak kita memahami budaya tempatan di negeri ini,” katanya.

Advertisement