Anda di sini

19 penghidap Cerebral Palsy terima kerusi roda

Advertisement

Sokong kanak-kanak CP melibatkan diri dalam komuniti

SOKONGAN: Noor bersama tetamu jemputan merakam kenangan bersama kanak-kanak Cerebral Palsy selepas perasmian Majlis Penyerahan Kerusi Roda di pekarangan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS.

KOTA KINABALU: Seramai 19 kanak-kanak kurang upaya (OKU) yang menghidap ‘Cerebral Palsy’ (CP), iaitu penyakit yang melibatkan kelemahan kawalan otot otak, menerima sumbangan kerusi roda kelmarin.

Sumbangan daripada Alumni Look East Policy Society (ALEPS) itu juga julung kali diadakan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, sumbangan itu bertujuan memberikan sokongan padu kepada kanak-kanak CP melibatkan diri dalam komuniti.

“Usaha ini dapat membantu menambah baik kualiti hidup kanak-kanak CP dan menceriakan hidup mereka.

“Ia juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keperluan kanak-kanak berkenaan berdikari serta menjalankan kehidupan seharian,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kerusi Roda Kepada Kanak-Kanak Cerebral Palsy, di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Mohammad Noor Wahab.

Menurut Jainab, usaha itu juga sebagai penghormatan atas sokongan dan usaha yang dilakukan oleh pihak penganjur terutamanya kepada ahli-ahli Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MYCP).

Katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan ibu bapa menyuarakan pendapat melalui jabatan yang disediakan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).

“Suara ibu bapa penting bagi memastikan perancangan yang bakal dijalankan bersifat inklusif, komprehensif dan efektif demi kebaikan semua,” katanya.

Beliau berkata, JKMM turut menyalurkan bantuan kewangan kepada golongan OKU yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Selain itu katanya, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang diperkenalkan kerajaan juga adalah salah satu khidmat sosial yang diberikan kepada golongan sasar.

Katanya, ia sekali gus memberikan peluang kepada masyarakat minoriti itu mendapatkan khidmat nasihat serta perlindungan.

Sementara itu, Pengerusi MYCP Zatul Hejanah Abdulila berkata, majlis berkenaan adalah kesinambungan daripada majlis sebelumnya yang dilaksanakan pada April lepas di Kuala Lumpur.

Katanya, melalui usaha berkenaan, ia akan menjadi pemangkin ke arah mewujudkan fasilitasi OKU CP yang sebenar di Malaysia.

Majlis berkenaan adalah kerjasama antara MYCP, Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Kelab Sukan dan Kebajikan Audit Sabah (KESKAS).

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS Prof Dr D Kamarudin D Mudin, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS Prof Madya Dr Mohd Zaki Ishak serta Penolong Pengarah Jabatan Audit Sabah Jalalemping Kihampau.

Advertisement