Anda di sini

Sarawak bebas daripada penyebaran ajaran sesat

Advertisement

Pihak berkuasa Islam tidak menerima laporan terkini berhubung pergerakan ajaran sesat di negeri ini

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Sarawak masih bebas dan dilabel sebagai kawasan putih penyebaran ajaran sesat termasuk ajaran bertentangan fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin berkata, setakat ini pihaknya tiada menerima laporan terkini berhubung pergerakan ajaran sesat berlaku di negeri ini.

“Kita di Sarawak masih bebas daripada pergerakan atau kumpulan yang cuba menyebar ajaran sesat sebaliknya hanya terdapat kes ajaran sesat dilakukan individu,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemantauan agensi agama di negeri ini berkaitan ajaran sesat.

Bagaimanapun menurutnya, orang ramai dinasihati supaya membuat laporan segera jika mengetahui kewujudan kumpulan ajaran sesat di kawasan masing-masing.

“Jika orang awam mencurigai atau mengesan mana-mana pihak  menyebar ajaran sesat dan ia berlainan daripada kebiasaan ajaran Islam, maka ia perlu dilapor kepada Jabatan Agama Islam Negeri,” tegasnya.

Katanya penyebaran ajaran sesat dan pemantauan berterusan dijalankan bagi membendung gejala itu daripada terus menular.

“Aduan amat penting supaya kita dapat mengkaji dan menyelidik ajaran dibawa supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam selaras dengan Ordinan Undang-Undang Jenayah Syariah,” jelasnya.

Mengulas mengenai fahaman Syiah pula, beliau berkata, tiada kumpulan dikesan menyebarkan fahaman itu namun tidak menafikan ada individu yang mengamal fahaman itu.

“Kita telah mengeluarkan fatwa bahawa fahaman Syiah adalah bertentangan dengan fahaman ahli Sunnah Al Jamaah.

“Bagaimanapun,  kita mengesan ia hanya diamal secara perseorangan,” katanya.

Menurutnya, segala penerbitan berkaitan fahaman Syiah di negeri ini perlu dihalang kerana dibimbangi memberi kesan kepada akidah umat Islam di Sarawak.

Terdahulu, Kipli menjadi penceramah sempena perasmian Seminar Fatwa Peringkat Bahagian Miri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Miri semalam.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.

Advertisement