Anda di sini

RM6.77b tingkat kemudahan asas luar bandar

Advertisement

Peruntukan kerajaan negeri 2010-2014, dengan RM6.72b (99.29 peratus) dibelanja untuk lima projek

JABU

Laporan oleh Saibi Gi, Patricia Gari, Nick Fletcher, Mahathir Haroun, Hamimi Kassim, Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Sejumlah RM6.77 bilion diperuntukkan oleh kerajaan negeri dari 2010 hingga tahun lalu sebagai usaha untuk meningkatkan liputan kemudahan asas di kawasan luar bandar di seluruh negeri ini.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM6.72 bilion (99.29 peratus) telah dibelanjakan untuk lima projek.

Katanya, projek tersebut merangkumi projek Jalan Luar Bandar (JALB) dan projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) dengan perbelanjaan sebanyak RM2.18 bilion, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) RM1.99 bilion, projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) RM2.02 bilion, Program Bantuan Rumah (PBR) RM524.04 juta dan Program Desa Lestari (PBL) RM7.98 juta.

“Setiap peruntukan yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi manfaat kepada penduduk luar bandar di Sarawak.

“Projek dan program yang dirancang serta dilaksana oleh kerajaan adalah bertujuan meningkatkan liputan merangkumi kemudahan infrastruktur, utiliti dan kemudahan awam selain akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi memperkasa dan memperhebat pembangunan infrastruktur asas secara menyeluruh,” katanya.

Selain itu, jelas Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri, wakil rakyat di kawasan luar bandar harus berganding bahu dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan bagi menjayakan pelaksanaan usaha ke arah kemajuan infrastruktur asas luar bandar serta tidak hanya meletakkan tanggungjawab itu di atas bahu kerajaan semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menjawab pertanyaan Muhammad Razi Sitam (BN-Saribas), beliau berkata, empat kampung di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka-Saribas meliputi Kampung Tuie, Kampung Supa, Kampung Medang dan Kampung Manggut kini dilengkapi kemudahan jalan raya sepanjang 23 kilometer (km).

“Jalan Kampung Tuie, Kampung Supa dan adalah sepanjang 16km menelan belanja sebanyak RM72 juta manakala Kampung Supa dan Kampung Medang sepanjang 7km pula menelan kos sebanyak RM4 juta.

“Untuk makluman, kedua-dua projek pembinaan jalan raya ini telah siap sepenuhnya pada Jun 2014 dan dengan adanya perhubungan jalan raya yang memudahkan penduduk ini, kerajaan berpendapat tidak perlu lagi membina jalan pintas bagi menghubungkan Jalan Suri Debak ke Kampung Tuie,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga memberitahu, tiga projek jalan ladang iaitu Jalan Ladang Pekebun Kecil di Kampung Manggut, Kampung Serembang dan Kampung Medang telah mendapat kelulusan pembinaan daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan peruntukan sebanyak RM889,600.

“Dengan siapnya pembinaan jalan-jalan ladang itu kelak, diharap hasil pertanian akan dapat dipasarkan ke pekan dan bandar berdekatan dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, bagi projek Pengawalan Hakisan Sungai di Kampung Tengah Sri Aman, cadangan pembinaan itu telah diluluskan di bawah projek Transformasi Luar Bandar dengan peruntukan sebanyak RM850,000 yang akan dimulakan pada tahun ini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman.

Jelasnya yang menjawab pertanyaan Simoi Peri (BN-Lingga), dua langkah jangka panjang turut diambil bagi mengawal masalah hakisan tebing sungai untuk dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan.

“Kementerian juga mencadangkan pelaksanaan dua projek sebagai langkah jangka panjang untuk mengawal hakisan tebing sungai merangkumi pembinaan struktur kawalan hakisan tebing sungai di Skait sepanjang 600 meter dengan kos RM2 juta serta di Kampung Hilir, Kampung Tengah dan Kampung Hulu di sepanjang 2.45km dengan anggaran kos RM29 juta,” jelasnya.

Jabu menambah, salah satu komponen projek Agropolitan Pulau Bruit, Ladang Sejahtera diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM21.22 juta.

“Ladang Sejahtera Fasa 1 dengan tanaman kelapa sawit seluas 495 hektar telah siap pada 2011 dan daripada keluasan itu, seluas 200 hektar telah dituai secara ‘Scout Harvesting’ dan dijangka keseluruhan ladang akan mengeluarkan hasil pada 2016.

“Selain itu, pembahagian pulangan projek itu kepada peserta juga hanya akan diagihkan seawal 2016 bergantung kepada jumlah hasil setelah ditolak dengan kos keseluruhan yang meliputi kos menuai, operasi, pengurusan dan pemasaran.

“Manakala keuntungan bersih daripada projek itu akan disalur kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) selain diberikan kepada peserta sebanyak dua kali setahun,” katanya yang menjawab pertanyaan Abdullah Saidol (BN-Semop).

Advertisement