Anda di sini

Prasarana, infrastruktur kemudahan asas luar bandar ditambah baik

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM500 juta pada 2015 untuk menambah baik prasarana, infrastruktur serta kemudahan asas di luar bandar.

Ia bertujuan tidak hanya untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat luar bandar, bahkan juga untuk menarik lebih banyak aktiviti pelaburan ke kawasan itu.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, dengan adanya aktiviti pelaburan swasta yang menginjak ke arah pembangunan berskala besar di luar bandar, maka adalah wajar bagi meningkatkan sektor pertanian pekebun kecil.

“Kerajaan sememangnya akan sentiasa memantau serta membantu pekebun kecil terutama dalam aktiviti penanaman padi, penternakan serta perikanan selain aktiviti yang melibatkan proses agro bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar sehingga RM4,000 menjelang 2020.

“Justeru, kerajaan akan sentiasa berusaha menyediakan prasarana yang baharu, efektif serta berteknologi tinggi sejajar dengan matlamat untuk mencapai proses produksi yang memenuhi permintaan pasaran semasa,” katanya yang juga Menteri Pemodenan Pertanian.

Demikian katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kementerian Pemodenan Pertanian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Tambah beliau, selain penanaman padi, kerajaan juga memberi fokus terhadap tanaman lain seperti getah, minyak sawit, lada, koko dan sagu.

“Setiap petani disaran untuk menanam sekurang-kurangnya dua tanaman seperti getah dan kelapa sawit atau getah dan lada bagi mengurangkan kesan ketidakstabilan pendapatan yang diperolehi petani.

“Tidak kurang dengan industri agro yang lain melibatkan perikanan dan penternakan, ia juga akan dipantau secara rapat oleh kerajaan negeri bagi memastikan setiap kemudahan untuk menjalankan aktiviti perindustrian yang menepati standard kualiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, jelasnya, dalam usaha menangani kejatuhan harga getah semasa, kerajaan negeri juga memperkenalkan pelaksanaan program Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah (BKKH) yang dilaksanakan mengikut peringkat.

Jelasnya, pada 2013, seramai 6,888 pekebun kecil getah menerima bayaran sekali gus berjumlah RM500 setiap seorang (jumlah keseluruhan RM344,400).

“Manakala bagi 2014, seramai 74,614 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian menerima bantuan istimewa dengan sejumlah RM37,307,000 telah diluluskan dan pembayaran akan dilakukan secara berperingkat kepada penerima yang layak,” katanya.

Terdahulu ketika menjawab pertanyaan Abu Seman Jahwie (BN-Jemoreng) dan Snowdan Lawan (BN-Balai Ringin) mengenai Pusat Latihan Pertanian, jelas Jabu, petani dan golongan belia di kawasan Jemoreng boleh mengikuti kursus pertanian di pusat itu yang terletak di Jalan Oya, Sibu atau Sungai Paoh, Sarikei.

Manakala bagi petani dan belia dari Balai Ringin pula, pusat yang menyediakan kursus pertanian adalah Institut Pertanian Sarawak, Semenggok, katanya.

Selain itu, Jabu turut mendedahkan bahawa sebanyak 22 pusat pemprosesan sarang burung walit di negeri ini telah berdaftar dengan Jabatan Pertanian Sarawak.

“Daripada jumlah ini, tiga pusat pemprosesan sarang burung walit telah melepasi audit daripada Agensi Pensijilan Kebangsaan Cina (CNCA),” katanya bagi menjawab pertanyaan Alexander Vincent (BN-Ngemah) dalam sesi penggulungan itu.

Advertisement