SIBU: Keputusan kerajaan memansuhkan sepenuhnya caj tol Jambatan Lanang adalah berita gembira buat pengguna jalan raya terutama yang berulang-alik melaluinya.
Rata-rata pengguna menyifatkan keputusan itu tepat pada masanya selepas kerajaan melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) awal bulan ini.
Ahli Majlis, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Jimbau Galau berkata, pemansuhan caj tol itu dilihat mampu mengurangkan beban pengguna yang sering berulang-alik melalui jambatan itu.
“Contohnya mereka yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda, caj tol dikenakan ialah RM10 untuk perjalanan ulang-alik. Bayangkan jumlah yang besar terpaksa ditanggung dalam tempoh satu bulan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya pemansuhan tol itu telah lama ditunggu semua masyarakat Sibu khususnya kerana ia membebankan mereka.
Selain itu, pemansuhan itu turut membantu melancarkan laluan trafik di jambatan berkenaan terutama pada musim perayaan.
Seorang lagi Ahli Majlis MDLBS Kaunselor Pasangan Ngalambai memberitahu bahawa pemansuhan kutipan tol membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi bandar Sibu terutama di bahagian seberang bandar.
“Pemansuhan tol akan merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka kawasan di Hulu Lanang dan Assan dengan projek pembangunan,” katanya.
Tambahan pula katanya, kadar tol itu membebankan penduduk seberang bandar Sibu terutama penduduk rumah panjang dan kampung Melayu.
“Sejak jambatan itu dibuka pada 2006, penduduk tempatan sudah merasai kesan bayaran tol dikenakan. Mereka tidak tahan membayar tol mencecah sehingga RM200 sebulan kerana jumlah itu terlalu besar terutama yang berpendapatan rendah,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Persidangan Dewan Undangan Negeri mengumumkan bahawa tol di Jambatan Lanang dimansuh sepenuhnya bermula 25 Mei depan.