Anda di sini

Pekerja tempatan diutamakan dalam sektor perladangan

Advertisement

Namun atas faktor pekerja tempatan sendiri, menyebabkan pilihan beralih kepada tenaga kerja asing, kata Masing

Laporan oleh Saibi Gi, Patricia Gari, Nick Fletcher, Mahathir Haroun, Hamimi Kassim, Siti Aisyah Ramli //

TEKS UCAPAN: Masing menunjukkan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN di Kuching, semalam.

KUCHING: Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk bekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit sebagaimana sektor lain namun atas faktor pekerja tempatan sendiri, maka pilihan beralih kepada tenaga kerja asing.

Menurut Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, terdapat pelbagai langkah telah diperkenalkan khususnya oleh pemilik ladang untuk menarik pekerja tempatan seperti pembayaran insentif dan pelaksanaan sistem upah mengikut produktiviti bagi menggantikan sistem gaji harian.

Selain itu, katanya ialah insentif kewangan seperti penyediaan pengangkutan, perlindungan insurans, sumbangan kepada KWSP, PERKESO, pampasan pekerja dan lain-lain.

Malah, beliau menambah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak juga melakukan yang terbaik untuk memastikan pencari kerja tempatan dimaklumkan mengenai kekosongan pekerjaan di ladang-ladang dengan membuat iklan dalam akhbar tempatan, pengumuman melalui radio dan pengiklanan dalam portal Job Malaysia.

Bahkan sebagai usaha untuk meningkatkan imbuhan kepada pekerja tempatan dan asing, Masing berkata kerajaan pada 2013 telah memperkenalkan dasar gaji minimum.

“Walaupun segala usaha dan inisiatif telah dibuat, sambutan daripada penduduk tempatan masih suram.

“Ramai penduduk tempatan yang bekerja dengan ladang tidak dapat mematuhi jadual kerja yang ditetapkan dalam industri tersebut di mana tidak ramai yang dapat bekerja penuh hari dalam sebulan.

“Budaya kerja seperti ini pasti tidak sesuai untuk operasi perladangan,” katanya pada ucapan penggulungan Kementerian Kemajuan Ta-nah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Sektor perladangan adalah satu daripada penjana pendapatan paling penting bagi Sarawak di mana tahun lepas, cukai jualan yang dikutip daripada pengeluaran 3.4 juta tan minyak sawit mentah adalah RM428 juta iaitu daripada keluasan tanaman 1.28 juta hektar.

Bagaimanapun, Masing berkata setakat Mac tahun ini, sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini hanya mempunyai seramai 104,031 pekerja iaitu jauh di bawah keperluan sektor berkenaan.

“Hasilnya, sektor ini mengalami kerugian besar melalui buah tandan segar (BTS) yang tidak dituai dan dibiarkan reput sekali gus menyumbang kepada kehilangan hasil kepada negeri.

“Mengambil SALCRA sebagai contoh, daripada jumlah 1,392 pekerja penuai mereka, hanya terdapat 41 orang tempatan manakala untuk kerja penyelenggaraan, hanya 1,046 daripada 1,810 pekerja adalah penduduk tempatan.

“Secara keseluruhannya, SALCRA menghadapi kekurangan kira-kira 1,287 pekerja,” katanya.

Menjelas lanjut, Masing berkata pengusaha ladang di Sarawak adalah lebih suka untuk merekrut orang tempatan dan bukannya warga asing kerana secara realiti, pengambilan buruh asing sebenarnya sangat mahal.

Katanya, ia adalah disebabkan perbelanjaan pengambilan yang perlu dilakukan ke atas kos pengangkutan, penginapan dan keperluan untuk mengambil kakitangan tambahan bagi menguruskan mereka.

“Contohnya dalam mengambil pekerja asing, SALCRA perlu membayar RM2,935 setiap pekerja berkenaan bagi yuran pengambilan, pas lawatan, visa, pemeriksaan perubatan, yuran dokumentasi dan pemprosesan, insurans dan levi.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak mengambil sikap yang berkompromi terhadap pengambilan pekerja asing dengan memastikan permohonan mereka melalui proses dan prosedur yang ketat,” katanya.

Berhubung pengambilan pekerja dari Bangladesh, Masing berkata kerajaan negeri belum lagi mengambil mana-mana pekerja dari negara berkenaan di bawah urusan kerajaan dengan kerajaan.

“Kita masih perlu memantau prestasi pekerja-pekerja tersebut di Semenanjung Malaysia. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri adalah sangat berhati-hati dan teliti dalam pengambilan pekerja asing,” katanya.

Advertisement