Anda di sini

Modal insan berkualiti dibentuk menerusi komitmen tinggi, usaha gigih pendidik

Advertisement

KUCHING: Modal insan berkualiti hanya dapat dibentuk menerusi komitmen tinggi dan usaha gigih warga pendidik.

Menurut Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pendidikan Sarawak Bidin Abas, visi melahirkan modal insan berkualiti hanya dapat dikecapi apabila para pendidik memahami peranan masing-masing.

“Setiap pendidik perlu peka terhadap dasar-dasar negara bagi merealisasikan visi melahirkan modal insan berkualiti daripada pendidikan berkualiti.

“Matlamat ini boleh dicapai apabila setiap individu memahami peranan masing-masing dalam membangunkan potensi individu sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Kuching di Dewan Yayasan Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama, pengerusi pengelola merangkap Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Dr Sluhi Lamat @ Narawi dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Thomas Kanyan Siam.

Bidin berkata, justeru para pendidik perlu memberi komitmen tinggi bagi menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang agar matlamat negara dapat direalisasikan sepenuhnya.

Beliau turut menyeru setiap warga pendidik untuk memainkan peranan masing-masing dengan ikhlas dan dengan baik bagi mengecapi tahap kecemerlangan lebih tinggi.

“Majlis hari ini merupakan majlis penuh bermakna bagi warga pendidik dalam mengiktiraf usaha dan kecemerlangan perkhidmatan mereka,” katanya.

Sebanyak 392 warga pendidik dipilih untuk menerima anugerah berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, 388 hadir menerima anugerah manakala empat lagi yang terdiri daripada kalangan guru besar akan menerima anugerah masing-masing pada sambutan peringkat negeri akan datang.

Advertisement