Anda di sini

Masing cadangkan perbahasan dalam DUN dalam bahasa Malaysia, Inggeris

Advertisement

KUCHING: Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing mencadangkan agar semua perbahasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa depan disampaikan dalam bahasa yang difahami setiap ahli dewan (ADUN) iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, katanya jika ada ADUN yang tidak dapat menyampaikan ucapan dalam bahasa Malaysia atau Inggeris, bahasa peribumi lain boleh digunakan tetapi terjemahan mesti disediakan oleh dewan.

“Terdapat beberapa ADUN peribumi di dewan ini yang berbangsa Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Bisaya… bayangkan jika semua mereka dibenarkan  menyampaikan perdebatan dalam bahasa ibunda mereka,” katanya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Masing menyatakan demikian bagi mengulas mengenai ucapan yang dibuat oleh ADUN Pelagus George Lagong yang kebanyakan ucapannya disampaikan dalam bahasa Iban yang puitis.

Justeru, Masing menyaran-kan ADUN tersebut merujuk kepada Perintah Am No.5 yang menyebut ‘bahasa dalam dewan seharusnya bahasa Malaysia atau Inggeris tetapi ahli boleh berucap dalam mana-mana bahasa peribumi lain dalam dewan’…. ucapan dalam bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa peribumi lain boleh ditafsirkan jika dan apabila Speaker mengarahkannya’.

Jelas beliau, sebab yang sangat sahih untuk bahasa peribumi lain dapat digunakan dalam dewan adalah kerana pada zaman dahulu, ramai wakil rakyat yang memuliakan DUN dengan kehadiran mereka tidak fasih bertutur dalam bahasa Malaysia atau Inggeris dan mereka dibenarkan menggunakan bahasa ibunda mereka dalam perbahasan.

Ini membolehkan ahli dewan bukan peribumi dapat memahami apa yang telah disebutkan, Masing berkata dewan telah melantik penterjemah yang sesuai supaya semua ucapan difahami semua ADUN pada waktu ia disampaikan.

Advertisement