Anda di sini

Chong dicabar buktikan kebenaran dakwaannya

Advertisement

KM cabar Chong cari pemaju boleh bayar tunai dengan nilai RM534 juta dalam tempoh 30 hari

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam mencabar Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) agar mencari pembeli  tanah seluas 267 ekar di Batu Kawa dekat sini dengan nilai RM534 juta dalam tempoh 30 hari bermula semalam.

“Carikan saya pemaju yang boleh membayar tunai RM534 juta dalam tempoh 30 hari untuk memajukan kawasan itu dan saya akan meminta pemaju sekarang tidak membangunkan projek tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Isu itu timbul apabila Chong mendakwa dalam kenyataannya baru-baru ini yang mahu mana-mana pihak mengetahui pasaran hartanah di Kuching akan mengiktiraf harga pasaran tanah iaitu kira-kira RM2 juta setiap hektar.

Chong mendakwa kontraktor sekarang tidak membayar jumlah sepatutnya kepada kerajaan negeri untuk tujuan pemilikan tanah tersebut yang akan dibangunkan dengan kawasan kediaman serta komersil.

Katanya lagi, urus niaga tanah seluas 276 ekar itu menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil berjumlah kira-kira RM400 juta.

Menurut Chong lagi, premium tanah yang dibayar syarikat kontraktor berkenaan hanya RM115 juta (RM430,469.77 seekar) sedangkan nilai pasaran tanah di kawasan itu kira-kira RM2 juta seekar.

Sementara itu, Adenan berkata rakyat harus memberi mandat kepada beliau untuk lima  tahun lagi agar segala rancangan pembangunan khususnya program transformasi luar bandar di bawah Pelan Induk Ekonomi Sosial Negeri yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Dalam tempoh 14 bulan saya menjadi Ketua Menteri banyak perubahan dan inisiatif dibuat untuk rakyat.

“Bayangkan kalau saya diberi mandat untuk lima tahun lagi, bukan hanya untuk menjadi Ketua Menteri tetapi membuktikan apa yang boleh kami (kerajaan ) lakukan untuk rakyat,” katanya.

Beliau katanya, komited mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sarawak bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dengan lebih banyak sokongan serta dana daripada kerajaan pusat.

Advertisement