Anda di sini

Pendakwah dinasihat hati-hati sebar bahan siaran

Advertisement

MUADZAM SHAH: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta golongan pendakwah di negara ini berhati-hati menggunakan bahan siaran atau video mengandungi perlakuan yang boleh memesongkan akidah ketika menyampaikan ceramah agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Mohd Nordin Ibrahim berkata mengambil contoh isu penyebaran video ‘zikir dan selawat sambil menari’ di laman sosial baru-baru ini, beliau mahu golongan pendakwah mengikut garis panduan yang ditetapkan jika ingin mengulang siaran video berkenaan.

“Kena tengok tujuan video itu disiar…jika nak buat perbandingan atau contoh, tidak jadi masalah tetapi kena lakukan dengan berhati-hati sebab kita tak mahu nanti ia menimbulkan pelbagai persepsi kepada umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Wacana Ilmu: Isu Semasa dan Hal Ehwal Islam bersama 350 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan imam masjid serta surau Parlimen Rompin di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sebelum ini video yang mengandungi amalan berzikir dan selawat sambil menari oleh pengikut Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang dipimpin Sheikh Nazim Al-Haqqani tersebar di media massa dan sosial.

Perlakuan itu bagaimanapun dilaporkan berlaku di negara luar dan tidak melibatkan umat Islam di negara ini.

JAKIM dalam kenyataannya di e-Fatwa sebelum ini turut menjelaskan bahawa kumpulan tariqat itu dan perbuatan berzikir sambil menari itu adalah menyeleweng dan pengamal ajaran tersebut diminta segera bertaubat.

Dalam pada itu Mohd Nordin berkata JAKIM akan terus memantau aktiviti dakwah yang dijalankan di seluruh negara termasuk program Selawat Perdana bagi memastikan pihak penganjur mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Antara garis panduan yang ditetapkan ialah umat Islam yang hadir perlu diasingkan lelaki dan wanita, tiada pergerakan badan yang melampau, penganjur juga digalakkan membuat kawasan khas bagi mereka yang hadir bersama keluarga masing-masing,” katanya. — Bernama

 

Advertisement