Anda di sini

PAS P.Pauh terima tekanan bantu PKR dalam pilihan raya kecil

Advertisement

BUTTERWORTH: Yang Dipertua PAS kawasan Permatang Pauh Omar Hassan menerima tekanan daripada pemimpin PAS Pusat dan negeri sebelum menarik balik keputusannya untuk tidak membantu PKR dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, kata seorang bekas pemimpin PAS Pulau Pinang.

Omar yang sebelum ini tegas mempertahankan keputusan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung hukum hudud terpaksa tunduk kepada ‘arahan’ Timbalan Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS negeri Mohamad Sabu dan Timbalan Pesuruhjaya parti Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Apabila Mat Sabu (Mohamad) memberi tekanan, Omar tidak mempunyai pilihan kecuali menurut perintah. Sepatutnya dalam perkara ini Omar mestilah merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi yang menyatakan bahawa kita mesti memberi penghormatan sewajarnya kepada keputusan (yang dibuat) PAS Permatang Pauh,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

PAS kawasan Permatang Pauh sebelum ini meluluskan usul menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan memohon maaf secara terbuka jika mahu PAS kawasan itu menyokong PKR dalam pilihan raya kecil.

Namun, pada 25 April, Omar menganggap kemelut itu sudah selesai dan tidak lagi timbul isu permohonan maaf yang dituntut sebelum ini selepas mengadakan pertemuan dengan presiden yang juga calon PKR bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas pemimpin PAS ne-geri itu turut sangsi dengan kenyataan Omar bahawa beliau (Omar) mendapat arahan Majlis Syura Ulama parti untuk membantu kempen Pakatan Rakyat, kerana menurut kebiasaannya majlis syura tidak terlibat dalam perkara sedemikian dan berkemungkinan besar ia merujuk kepada keputusan jawatankuasa PAS pusat.

Beliau berkata Omar seharusnya merujuk kepada pemimpin dan anggota PAS Permatang Pauh terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menerima atau menarik balik usul berkenaan.

Katanya PKR seharusnya sedar bahawa PAS yang menyebabkan kemenangan besar parti itu di Permatang Pauh, namun PKR dilihat seolah-olah langsung tidak menghargai persahabatan kepimpinan PAS.

“Kelihatan PAS telah diperlakukan seperti ‘habis manis sepah dibuang’. Semua pertolongan yang telah diberi ahli dan penyokong PAS ibarat ‘melepaskan anjing tersepit’,” katanya. — Bernama

Advertisement