Anda di sini

EMD dipasang pada pesalah militan selepas dibebaskan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) akan dipasang kepada individu yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti militan, selepas mereka dibebaskan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata peranti itu dijangka boleh dipasang mulai Julai ini selepas undang-undang berkaitan diwartakan.

“Sebanyak 107 orang yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

Jika mereka mahu dibebaskan, pada waktu sama mahu dipantau, maka EMD ini dipakaikan pada mereka bagi memantau pergerakan mereka.

“EMD ini juga dipakaikan kepada penjenayah yang telah dibebaskan jika mahu dipantau di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Katanya peranti itu akan dipasang pada kaki individu terbabit bagi satu tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata polis sedang menjejaki saki-baki individu yang dipercayai anggota kumpulan IS, selepas 12 daripada mereka ditahan pada Sabtu dan Ahad lepas.

“Hanya sebahagian daripada mereka ditahan… 12 orang itu hanya sebahagian daripada mereka,” katanya.

Sekumpulan 12 rakyat tempatan itu yang disyaki menganggotai kumpulan IS ditangkap ketika sedang menguji bahan letupan di sebuah kawasan terpencil Gunung Nuang dekat Hulu Langat.

Terdahulu, ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, Ahmad Zahid berkata tujuh daripada 12 individu yang ditahan itu adalah juruwayar warga tempatan.

“Mereka ini terpengaruh dengan anasir pemimpin IS dan belajar membuat bom melalui media sosial, tidak perlu ke Syria atau Iraq. Bukan hanya cetek agama tapi mengetepikan semua sempadan politik,” katanya.

Ahmad Zahid menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Johari Mat yang ingin tahu tahap pengetahuan agama mereka yang menyertai kumpulan militan IS serta rancangan kerajaan untuk meningkatkan pengetahuan agama rakyat di negara ini bagi mengatasi peningkatan jumlah penyertaan dalam kumpulan itu.

Ahmad Zahid turut memberitahu persidangan dewan bahawa hasil kajian turut mendapati lebih 50 peratus individu yang terlibat dalam kumpulan militan IS berumur 40 tahun dan ke bawah.

Beliau berkata kajian itu jelas menunjukkan bahawa kumpulan militan IS menyasarkan generasi muda memandangkan golongan itu sering mendapatkan maklumat melalui media sosial. — Bernama

 

Advertisement