Anda di sini

Sesuaikan diri dengan GST

Advertisement

Masyarakat akhirnya akan mendapat faedah, kata Bolkiah

PITAS: Masyarakat dijangka dapat menyesuaikan diri dengan sistem Cukai Barang dan Perkidmatan (GST) dalam masa enam bulan hingga setahun.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Bolkiah Ismail percaya GST akan berjaya dilaksanakan di negara ini kerana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah dihapuskan dan diganti kepada GST dengan kadar 6 peratus.

“Sejak dilaksanakan pada 1 April lalu, kita dapati proses penyelarasan GST sedang berlangsung.

“Cukai SST yang berlegar dalam 10 hingga 16 peratus sebelum ini jika dianalisa secara terperinci terdapat cukai yang berganda atau bertindih.

“Dengan memperkenalkan GST, pengguna dapat menentukan cukai sebenar yang perlu kita bayar kepada kerajaan khususnya kepada pengeluar yang dikenakan sekali sahaja.

“Terdapat juga peniaga yang dikecualikan daripada mengenakan cukai GST. Kita berharap dalam tempoh itu, negara akan berjaya melaksanakan pungutan cukai lebih teratur berbanding SST.

“Menerusi kawalan serta pemantauan harga barang dan perkhidmatan yang berterusan oleh pihak KPDNKK, masyarakat akan mendapat faedah,” katanya ketika berucap merasmikan Program Semarak Komuniti 1Malaysia (K1M) Peringkat Daerah Pitas, malam Sabtu lepas.

Menurut Bolkiah, program itu merupakan salah satu platform terbaik untuk menyampaikan kefahaman kepada masyarakat setempat menerusi Ceramah Pencatutan oleh KPDNKK dan Dialog Cukai Barangan oleh Jabatan Kastam.

Selain dapat menjalinkan hubungan harmoni dan kerjasama antara tiga K1M yang terlibat iaitu Mempakad Laut, Danun dan Pekan Kanibongan, beliau berkata ia mampu menggalakkan penglibatan ahli K1M dalam mengadakan program secara bersama.

Turut hadir, Pegawai Daerah Bubudan OT Majalu, wakil Pengarah Penerangan Sabah Durahim Jaman, Penolong Pegawai Daerah Bakri Nanun dan Pegawai Penerangan Daerah Yaacob Hamud.

Pada majlis itu, Bolkiah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang acara tarik tali, pertandingan karaoke dan sukan rakyat di samping menyaksikan persembahan hiburan Pentarama.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa K1M Mempakad Laut Nuraziemah Matarang, suri rumah, 42, yang ditemui media berkata bahang GST belum dirasa kerana keluarganya membeli barangan yang perlu sahaja.

“Memang ada barang yang naik harga tetapi masih boleh dikatakan stabil. Selalunya saya membeli di kedai-kedai runcit yang hampir dengan rumah, jarang berbelanja di pekan,” katanya.

Manakala, Timbalan Pengerusi K1M Danun Duraman Olai, petani, 51, pula berpendapat pelaksanaan GST adalah lebih baik berbanding SST tetapi masih mengharapkan kadar harga sesetengah barangan yang dikenakan GST tidak membebankan rakyat khususnya masyarakat di luar bandar dan pedalaman.

“Pendapatan di kampung tidak seberapa. Jika harga barangan yang dikenakan GST itu tinggi, kami tidak akan mampu dan pasti akan ada rungutan serta rasa tidak senang hati.

“Apa yang paling mengecewakan, sebelum 1 April pun sudah ada kenaikan harga barang di kedai-kedai runcit.

“Saya juga berharap pihak KPDNKK mewajibkan para peniaga meletakkan label harga dan senarai barang yang dikenakan GST dan tanpa GST sebagai panduan kepada pengguna sebelum membeli,” katanya.

Advertisement