Anda di sini

Demonstrasi pada 1 Mei ini tidak harus dibenarkan, kata Rosnah

Advertisement

KINARUT: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin membidas tindakan sesetengah pihak mengadakan demonstrasi untuk menuntut sesuatu perkara, sambil menegaskan ia tidak perlu dan tidak wajar diadakan.

Beliau berkata, ini kerana terdapat banyak platform ruang dan peluang yang boleh dijadikan wadah bagi menyuarakan sesuatu perkara.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, perbuatan mengadakan demonstasi hanya akan mencetuskan keadaan huru-hara dan ketidakstabilan.

“Tindakan ini saya anggap bertujuan mewujudkan keadaan tidak stabil supaya kononnya masyarakat luar melihat Malaysia sebagai tidak aman.

“Pada saya, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab saya minta supaya mereka tidak terlibat dalam atau terbawa-bawa dengan cara sedemikian,” katanya selepas merasmikan Program Penetapan Sasaran di Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Kinarut, kelmarin.

Dilaporkan, Pengerusi PKR Sabah Datuk Lajim Ukin turut menyokong dan menyeru rakyat Sabah menyertai demonstrasi itu pada 1 Mei depan bagi memprotes pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta beberapa isu besar membabitkan kepentingan negeri ini.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan perbuatan mengadakan demonstasi tidak boleh dibiarkan kerana ia seolah-olah mengajar anak kita bahawa demonstrasi ini baik daripada cara yang konvensional.

Tambahan pula, beliau menyifatkan penganjuran protes jalanan itu sebenarnya tidak menjurus kepada kepentingan rakyat tetapi untuk memenuhi tuntutan dan agenda ‘individu’.

“Himpunan haram bukan cara kita sebagai orang Sabah…kalau mereka tetap mahu mengadakan demonstrasi untuk menyuarakan sesuatu perkara, biarkanlah tetapi jangan lakukannya di negeri ini,” tegasnya.

Advertisement