Anda di sini

DBKU mengekalkan rentak cemerlang

Advertisement

KUCHING: Juara bertahan Liga Kuching, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya mengekalkan rentak cemerlang selepas membenam Marr FC 2-1 pada perlawanan di Padang C semalam.

Begitupun, DBKU hampir dimalukan Marr FC apabila skuad menduduki tangga tercorot itu berjaya membimbing perlawanan seawal minit ke-18 menerusi jaringan Aldridge Dato.

Susulan gol Aldridge, pemain Marr FC mengubah taktik dengan lebih banyak berkampung di kubu sendiri untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Bagaimanapun, kekebalan Marr FC akhirnya musnah selepas penyerang lincah DBKU, Mohd Faizal Zamri berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-70.

Ketika perlawanan hampir berkesudahan seri, muncul Mohd Khairil Umar meledak jaringan kemenangan dalam masa kecederaan untuk DBKU pulang dengan tiga mata penuh.

“Kredit kepada pemain-pemain DBKU atas kemenangan itu walaupun kita memiliki tiga hingga empat peluang terbaik yang disia-siakan.

“Tahniah juga kepada pasukan Marr FC kerana memperaga corak permainan bertahan yang menjadi sehingga hampir mengecewakan kita,” kata pengendali DBKU, Ideris Untong ditemui di sini semalam.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan JPAM SJN FC membenam KSK Satok 4-0.

Gol-gol JPAM dijaringkan oleh Syahrul Ikmal Mahdini (40), Ainol Asmi Laimi (62), gol sendiri pemain KSK Satok (Safri Usop, 79) dan Muhammad Yusri Othman (90).

Saingan liga akan diteruskan petang ini menyaksikan pertembungan menarik di antara DLFC dan OBYU Realty sementara I.E.M. FC berdepan RIAZ FC.

Advertisement