Anda di sini

Yayasan Jeffery Cheah suntik semangat pelajar perakaunan SMK Jalan Arang

Advertisement

KUCHING: Yayasan Jeffery Cheah menyumbang RM500 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Arang sebagai dorongan untuk mendapat keputusan cemerlang kepada pelajar tingkatan lima perakaunan semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Sunway Kuching, Joseph Lim Jit Sek pihaknya sebelum ini telah menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh pemenang Certified Accounting Technician (CAT) Paper Fa2.

“Oleh kerana Cheong Mei Ling, 19, merupakan bekas pelajar sekolah ini dan pihak kami percaya sumbangan dana ini akan membantu menyuntik semangat pelajar seperti beliau untuk mengambil jurusan perakaunan,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada masa sama, Cheong yang merupakan bekas pelajar SPM sekolah berkenaan pada 2013 turut menyatakan rasa teruja selepas mendapat skor 98 peratus bagi CAT Fa2 baru-baru ini.

Beliau menceritakan sasaran markah yang dimahukannya melebihi 90 peratus tetapi tidak menyangka beliau mendapat markah tertinggi daripada 3,847 pelajar lain dari seluruh dunia.

“Rasa sungguh teruja, ibu dan bapa saya juga gembira dengan keputusan ini. Kolej Sunway merupakan pilihan tepat selepas saya meninggalkan sekolah menengah kerana saya tahu di sinilah minat saya sebenarnya,” kata anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu.

Sementara itu, Pengetua SMK Jalan Arang Fong Yet Kuen meluahkan rasa gembira beliau dan menyokong Cheong untuk mengejar impiannya semalam.

Kata beliau, bekas pelajarnya itu akan menjadi ikutan dan contoh kepada pelajar lain di dalam kelas perakaunan di sekolahnya itu.

 

Advertisement