Anda di sini

Peniaga ditemui mati dalam bilik hotel

Advertisement

MATI MENGEJUT: Polis mengangkat mayat peniaga barangan sukan yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik sebuah hotel yang disewanya ke dalam trak polis untuk dibawa ke HQE.

KOTA KINBALU: Seorang peniaga barangan sukan ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik sebuah hotel yang disewanya di sini kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Wong Kooi Fatt, 61, berasal dari Klang, Selangor dan dikatakan ke negeri ini untuk mengendalikan perniagaan barangan sukan.

Menurut saksi yang menyewa di sebelah biliknya, mangsa tidak kelihatan sejak hari kedua beliau berada di hotel berkenaan.

“Saya hanya mendengar bunyi telefon serta bunyi penggera di bilik sebelah yang tidak henti-henti sejak dari pagi dan mengesyaki sesuatu telah berlaku kepada penyewa berkenaan.

“Sehingga jam 4 petang baharu saya memaklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan hotel dan mereka memasuki bilik itu melalui tingkap bilik sebelah dan mendapati penyewa berkenaan terlantar di lantai biliknya lalu mereka menghubungi pihak polis,” katanya.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 4.30 petang dan menggegaskan anggota ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya sambil menambah, ahli keluarga mangsa akan dimaklumkan kemudian mengenai perkara itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat.

 

Advertisement