Anda di sini

Lelaki sempat lakukan jenayah pecah rumah sebelum dihadapkan ke mahkamah

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki sempat melakukan jenayah pecah rumah bersama dua rakannya lain sehari sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah di sini atas kesalahan jenayah lain.

Oleh kerana, beliau tidak mampu membayar denda maka beliau dimasukkan ke penjara di sini pagi semalam.

Namun, polis sempat mendapatkan maklumat menjurus tertangkap seorang suspek utama berhubung kes pecah masuk dua premis kedai di tingkat satu rumah kedai di Jalan Suarah, di sini pagi Khamis lalu.

Justeru, polis menyifatkan kes pecah rumah di Jalan Suarah dianggap selesai selepas penangkapan dua suspek lelaki berbangsa Cina dan berumur dalam lingkungan 30-an itu.

Suspek utama ditahan di tepi jalan berdekatan sebuah rumah sewa di Jalan Lai Chee, di sini jam 1 petang semalam.

Polis turut menemui semula sebuah ‘equiliser’, satu unit projektor dan sebuah tong gas memasak.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut.

Polis turut berjaya menahan seorang lagi suspek pada jam 5.30 petang semalam di Jalan Foochow di sini berhubung kes pecah rumah itu.

Pada awal pagi kelmarin, sebuah pusat tuisyen dan bilik mesyuarat sebuah syarikat jualan langsung di tingkat satu rumah kedai di Jalan Suarah di sini digeledah tiga orang lelaki.

Melalui rakaman CCTV, tiga suspek bertopi keledar memecah masuk kedua-dua premis selepas berjaya memotong pagar geriji di tingkat bawah.

Selepas insiden itu disedari seorang kakitangan jam 8.30 pagi, kedua-dua pemilik premis itu membuat laporan polis.

Sebuah tabung gas memasak dilaporkan hilang dari pusat tuisyen manakala sebuah ‘equilizer’, satu unit projektor serta penegak dan tangki air minuman dilaporkan hilang.

Kes tersebut kini dalam siasatan lanjut.

 

Advertisement