Anda di sini

Kes samun bersenjata api, polis jejaki tujuh lelaki

Advertisement

SANDAKAN: Polis sedang menjejaki tujuh lelaki warga asing untuk membantu siasatan dua kes samun bersenjata api dan bunuh di Ladang Tong Sang Plantation serta Ladang Malangking di Kinabatangan pada 13 April dan 17 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah SAC Datuk Sallehhudin Abd Rahman berkata tujuh lelaki itu dikenali sebagai Habil (Manong), Mimil, Jas, Asis, Jiman, Ejin dan Sarani.

Orang ramai yang mengetahui kedudukan mereka diminta menghubungi pegawai penyiasat dan balai polis yang berhampiran, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Polis Sandakan ASP Majari Awal Jari di talian 013-8013536 atau Pegawai Penyiasat Jenayah Polis Sandakan Kinabatangan Insp Syamsuri Hamat 019-5864733.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di talian 08-9863181.

Dalam kejadian di Ladang Tong Sang Plantation, seorang pengurus ladang berusia 50 tahun mati ditembak manakala pemilik ladang berusia 30 tahun cedera parah selepas disamun dua pekerja ladang itu yang bersenjatakan pistol di pejabat ladang itu.

Di Ladang Malangking, seorang peniaga lelaki berusia 50 tahun cedera parah selepas terkena satu das tembakan di dada selepas cuba dirompak empat lelaki bersenjatakan pistol setelah menahan kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya. — Bernama

 

Advertisement