Anda di sini

Kepelbagaian Sarawak harus dipromosi

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli//

 

UNTUK PERPADUAN: Zamahari (dua kanan) menyampaikan kit keluarga angkat kepada 25 keluarga warga kampung KRT Kampung Semariang Batu pada Majlis Penyerahan Anak Angkat Program Orientasi Pegawai Persekutuan Perkhidmatan Awam Negeri 2015 di Kuching, semalam.

KUCHING: Kekayaan Sarawak khusus sebagai negeri didiami pelbagai kaum dan etnik harus dipromosi secara berterusan.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Residen Pembangunan Zamahari Saidi berkata, bagi menjayakan promosi tersebut rakyat Sarawak harus menerima kedatangan pengunjung luar dengan hati terbuka.

Tidak kira pengunjung yang datang berkunjung ke Sarawak adalah dari Sabah ataupun Semenanjung Malaysia, katanya, sebagai rakyat Sarawak yang memiliki kekayaan budi bahasa, kita hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang baik dan melayani kedatangan pengunjung dalam suasana yang mesra.

“Kita (rakyat Sarawak) tidak hanya diperuntukkan untuk mempromosi perpaduan kaum sedia ada di sini (Sarawak), bahkan ia juga boleh dipelbagaikan menerusi gaya hidup, amalan, dialek percakapan mahupun makanan yang kita miliki.

“Selain itu, menerusi perhubungan erat yang terjalin ini juga, secara tidak langsung, kita boleh membawa perpaduan dan keamanan yang kita ada agar dapat dicontohi masyarakat luar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Anak Angkat Program Orientasi Pegawai Persekutuan Perkhidmatan Awam Negeri 2015 di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu di sini, semalam.

Menurutnya, Sarawak memiliki keunikannya yang tersendiri kerana berkongsi budaya dengan masyarakat pelbagai kaum bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Justeru, jelasnya, amatlah penting untuk memiliki sikap saling menghormati antara satu sama lain, bersikap serta mengamalkan pemikiran terbuka dengan perbezaan yang wujud di antara setiap kaum dan etnik yang ada.

“Umum tahu, kita di Sarawak sudah lama tinggal dalam kehidupan berkongsi. Kita berkongsi budaya, malah juga berkongsi bahasa antara satu sama lain.

“Perpaduan menjadi asas modul yang amat penting dalam membangunkan sesebuah negeri, maka kita harus berterima kasih dengan pemimpin kita yang bekerja keras menjadikan perpaduan sebagai asas utama pembangunan negeri sehingga hari ini,” jelasnya sambil menambah, budaya kahwin campur juga sudah menjadi kebiasaan di Sarawak dan ia membuktikan Sarawak sangat teguh dalam aspek perpaduan kaum.

Majlis Penyerahan Anak Angkat Program Orientasi Pegawai Persekutuan Perkhidmatan Awam Negeri 2015 disertai seramai 52 pegawai persekutuan perkhidmatan awam dari seluruh negara.

Kesemua peserta dibahagikan kepada 25 keluarga angkat warga kampung KRT Kampung Semariang Batu dan akan berkampung di Kuching untuk mengenali budaya Sarawak dengan lebih mendalam.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri (JPNIN) Dirwana Azool, Pegawai Perpaduan Kuching Rose Jonathan Garau dan wakil Pengerusi KRT Kampung Semariang Batu Zaidi Yusuf.

 

Advertisement