Anda di sini

Kemas kini profil rumah panjang

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus//

BENGKEL: Maurice (duduk tengah) bersama peserta Bengkel Profil Kampung Untuk Ketua Masyarakat Daerah Kanowit.

KANOWIT: Ketua masyarakat diingatkan supaya sentiasa mengemas kini profil rumah panjang di kawasan mereka bagi memudahkan urusan kerajaan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Maurice Giri berkata setiap maklumat disenaraikan berkenaan dengan butir-butir penduduk mesti betul dan benar mengikut maklumat terkini.

“Profil rumah panjang hendaklah dibuat secara terperinci dan sentiasa dikemas kini. Ia meliputi statistik rumah panjang, jumlah penghuni, tahap ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

“Jika profil sentiasa dikemas kini mengikut maklumat terkini memudahkan kerajaan mengenal pasti penduduk sesebuah kawasan.

“Segala urusan pembangunan juga mudah disalurkan. Jangan pandang ringan profil rumah panjang kerana sangat penting,” katanya pada Penutupan Bengkel Profil Kampung Ketua Masyarakat Daerah Kanowit di sini.

Hadir sama Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Pemanca Chi Chau Fah, Pemanca Spencer Kudang serta para penghulu di sini.

Bengkel itu bagi memberi pendedahan kepada ketua-ketua masyarakat penyediaan profil lebih baik mengikut prosedur betul.

Maurice berkata, ketua-ketua masyarakat mesti bekerjasama dengan tuai-tuai rumah bagi memudahkan tugasan mereka.

Sementara itu, beliau menyifatkan ketua-ketua masyarakat adalah sealiran sebagai mata dan telinga kerajaan.

“Anda adalah ejen kerajaan sebagai sumber maklumat dan membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasar dengan memberi info jelas kepada rakyat.

“Kita tidak mahu ketua-ketua masyarakat menyalahgunakan kuasa mereka demi kepentingan diri sendiri,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau meminta ketua-ketua masyarakat dapat menjalankan tanggungjawab dengan amanah demi kepentingan rakyat di kawasan mereka.

“Selain itu, mereka disaran mewujudkan hubungan baik dengan semua pihak kerana mampu menjamin tugasan dijalankan dengan sempurna,” katanya.

 

Advertisement