Anda di sini

APMM tahan dua kapal asing cuba kaut hasil laut

Advertisement

PENCEROBOH: Steve menunjukkan kedua-dua kapal milik nelayan asing tersebut ditahan berdekatan Tanjung Sirik.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua kapal nelayan asing cuba mengaut hasil laut dengan menggunakan pukat ganding berdekatan Tanjung Sirik, di sini kelmarin.

Pengarah Operasi APMM Kuching, Komander Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata selain kesalahan menggunakan pukat ganding yang diharamkan penggunaannya, kedua-dua kapal terbabit juga tidak memiliki permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

Justeru, kedua-dua kapal tersebut sarat dengan muatan sekitar 120 tan pelbagai jenis ikan disita bersama dengan dua tekong dan 22 awak-awak berusia sekitar 20 hingga 40 tahun ditahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kapal terbabit didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Sarawak dengan menggunakan pukat ganding yang diharamkan di Malaysia sekitar jam 7.30 pagi Khamis lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut tidak memiliki permit menangkap ikan di perairan Malaysia dan dua tekong serta 22 awak-awak warganegara Vietnam ditahan.

“Sebanyak 120 tan ikan dianggarkan bernilai mencecah RM150,000 juga dirampas dan kapal tersebut kini disita di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau turut memberitahu, kedua-dua kapal itu dianggarkan bernilai RM5 juta dan mampu membawa muatan sehingga 240 tan ikan.

Difahamkan kedudukan kedua-dua kapal tersebut ditahan adalah kira-kira di 76 Batu Nautika Barat Laut, Tanjung Sirik.

Menurut Steve, APMM sentiasa menguatkuasakan undang-undang menjaga perairan negara.

“APMM tidak melepaskan pencerobohan nelayan asing cuba mengaut hasil laut dan melakukan kegiatan haram di perairan Malaysia,” katanya.

 

Advertisement