Anda di sini

80 keluarga setinggan menaruh harapan

Advertisement

Oleh Steve Annuar//

 

BINCANG: (Dari kiri) Sebastian, Bunyau, Hii, Adam, Karambir Singh dan Samad ketika menemui penduduk kampung Merikan Tiga Lutong semalam.

MIRI: Penduduk Kampung Merikan Tiga Lutong menanti kelulusan kerajaan negeri untuk memiliki tanah sendiri setelah lebih 30 tahun hidup setinggan.

Pengerusi kampung, Bunyau Suda, 53, berharap proses permohonan pemilikan tanah dipercepat untuk membolehkan penduduk berpindah ke kediaman baharu.

Merikan Tiga didiami lebih 80 keluarga merupakan sebahagian kediaman setinggan Merikan Lutong.

“Sebanyak 72 keluarga mengemukakan nama mereka kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei sejak awal tahun ini. Mereka masih menanti kelulusan kerajaan negeri,” jelasnya.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau, Datuk Sebastian Ting berkata, penduduk dicadang supaya berpindah ke kawasan penempatan semula Tudan Desaras.

Beliau berkata demikian ketika pertemuan bersama penduduk turut dihadiri Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Piasau, Datuk Hii King Chiong, Pengerusi SUPP Pujut, Adam Yii dan Penghulu Abdul Samad Alip.

Katanya, setakat ini pihaknya masih menerima senarai nama penduduk dan membantu merujuk permohonan mereka kepada kerajaan negeri.

Untuk fakta, pemindahan penduduk setinggan di sini sebagai menyahut seruan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk mencapai sifar setinggan menjelang tahun 2020.

Jelasnya, ia juga lanjutan daripada kejayaan memindahkan 62 keluarga di Merikan ke Tudan Desaras pada bulan Januari lalu.

Datuk Hii berkata, kerjasama semua pihak sebagai satu pasukan dan keluarga diperlu dalam menyelesai masalah rakyat.

“Saya gembira dengan kerjasama ditunjuk parti UPP dan SUPP hari ini. Kerjasama ini tanda kita mahu berkhidmat dan memberi terbaik untuk rakyat,” jelasnya.

Hii berkata, kerjasama harus dijadi contoh dan perlu diteruskan agar usaha membangunkan rakyat dapat diperluaskan.

Hii berkata, pusat khidmat beliau iaitu pusat khidmat Hii King Chiong dan Majulah Miri terbuka untuk mendengar permasalahan penduduk tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Anda boleh rujuk masalah anda kepada kami. Kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah anda,” jelasnya.

 

Advertisement